Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC tak akan lobi jawatan menteri
Diterbitkan:  Jul 7, 2025 1:42 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

MIC tidak akan melobi kepada jawatan menteri sekiranya berlaku rombakan kabinet.

Presiden parti itu  SA Vigneswaran berkata bahawa sudah terlambat kepada MIC untuk menerima jawatan kabinet.

" Semua orang perlu faham dengan jelas bahawa MIC tidak mahu jawatan menteri lagi. Sudah terlambat. Tidak ada makna untuk menerima jawatan itu sekarang.

"Lagi pun kini, kami kini berasa tenang. Tiada siapa yang memarahi kami.

"Biarlah kerajaan memberikan jawatan itu kepada mereka yang layak," katanya selepas menghadiri program sayap wanita parti di ibu pejabat MIC, di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, bekas speaker Dewan Negara itu diminta mengulas sama ada sedia menerima jawatan kabinet susulan perletakan jawatan dua menteri dalam kerajaan persekutuan.

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli dan bekas naib presiden parti itu Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan menteri  selepas gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti, Mei lalu.

Portfolio ekonomi kini dipangku oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan. Status melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar masih tidak diganti.

Sementara itu, Vigneswaran berkata MIC lebih memberi fokus kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"MIC telah mengemukakan banyak cadangan untuk RMK13. Kami percaya kerajaan akan menerima cadangan-cadangan ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Banyak cadangan juga telah diberikan oleh pelbagai pihak untuk pembangunan masyarakat India. 

"Sesiapa boleh memberi cadangan, tetapi persoalannya, adakah kerajaan akan menerimanya? Terutamanya, adakah cadangan itu akan dilaksanakan? Kita tunggu dan lihat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS