Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu PD terus dikecam lepas saran Hamzah ketuai parti
Diterbitkan:  Jul 8, 2025 1:25 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Bersatu Port Dickson terus menerima kecaman selepas mengusulkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Muhyiddin Yassin.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Harrison Hassan menyoal sama ada tindakan itu “taktik dan helah jahat” untuk melemahkan parti dan institusi presiden.

Katanya, sarangan itu pula ditujukan ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan mengalami defisit kepercayaan dan berdepan serangan bertali arus, termasuk daripada pihak sendiri.

“Cawangan ini berkiblatkan siapa sebenarnya?” soal Harrison yang juga ketua bahagian Bersatu Kuala Selangor.

Harrison Hassan

Malaysiakini difahamkan bahawa usul itu dikemukakan oleh satu cawangan di Port Dickson sebelum dan dibawa ke mesyuarat agung tahunan bahagian sebelum diluluskan.

Dalam kenyataannya hari ini, Harrison bagaimanapun tidak menyebut nama bahagian dan cawangan itu secara khusus.

Kelmarin, bahagian pimpinan aktivis aktif-lantang Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard itu meluluskan usul supaya Hamzah mengambil alih tugas mengepalai parti manakala Muhyiddin dilantik sebagai penasihat.

Timbalan Chegubard, Akkil Aizat Othman mendakwa barisan kepimpinan semasa parti gagal menangani isu rakyat dan diibaratkan tidak pandai melakukan servis dalam permainan badminton.

Sementara itu, Harrison mengingatkan semua anggota parti untuk memperkukuhkan institusi presiden yang mendapat mandat daripada perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2024 secara majoriti. 

Katanya, dalam menghadapi cabaran politik yang tidak menentu, kesatuan parti merupakan tunjang utama dalam memastikan agenda perjuangan parti  dalam pilihan raya umum akan datang,

Dia juga menyifatkan apa yang berlaku di Port Dickson sebagai janggal kerana semua bahagian lain sedang sibuk berkampung dalam persidangan dan berbahas mengenai usul mengukuhkan parti dan mendesak Anwar berundur.

“...ada pula satu cawangan daripada 5,102 cawangan di seluruh negara yang cetek pemikiran serta tidak matang politik, mengusulkan sesuatu yang telah pun dipersetujui di dalam pemilihan parti dan PAT sebelum ini,” katanya.

Harrison memberi amaran bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan pihak yang terlibat dibawa ke Lembaga Disiplin Bersatu.

Terdahulu, Pemuda Bersatu (Armada) dan Badan Pimpinan Negeri (BPN) Negeri Sembilan turut tampil mempertahankan presiden susulan usul itu, yang dilihat secara halus mahu membataskan peranan Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS