Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata tahu bila pilihanraya ke-12 akan diadakan.

Bagaimanpun, kataanya, beliau tidak dapat memberitahu mengenainya.

"Saya tidak boleh berbohong yang saya tidak tahu bila pilihanraya akan datang, saya tidak dapat beritahu bila masanya, tetapi saya telah beri cukup peringatan untuk semua membuat persediaan," katanya.

Katanya, pilihanraya mungkin dapat diadakan selepas selesai SPR mengadakan taklimat kepada pegawai pengurus, penolong pengurus pilihanraya dan penguatkuasa kempen pilihanraya umum ke-12 di seluruh negara.

Menurut Abdul Rashid, semua taklimat tersebut akan mengambil masa sebulan setengah, bermula di Melaka hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Sambil menjelaskan bahawa bahangnya semakin hampir, beliau mengingatkan semua pihak supaya membuat persiapan kerana SPR tidak mahu sesiapapun yang

ketinggalan dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum itu nanti.

"Jika SPR giat membuat persiapan, maka pihak lain termasuk parti politik, juga perlu membuat persiapan," katanya kepada pemberita di majlis taklimat kepada pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus pilihanraya dan pasukan penguatkuasa kempen pilihanraya umum ke-12 negeri Melaka hari ini.

Taklimat di setiap negeri

Taklimat itu antaranya berkaitan peranan dan tanggungjawab pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya bagi menghadapi pilihanraya itu nanti.

Bermula di Melaka hari ini, SPR akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat serupa di setiap negeri.

Abdul Rashid berharap bahawa selepas selesai SPR semua taklimat itu yang dijangka mengambil masa sebulan setengah, pilihanraya mungkin dapat diadakan.

Abdul Rashid, yang pernah menjadi Setiausaha SPR dan telah menguruskan enam pilihanraya umum, berkata pilihanraya di negara ini sentiasa dijalankan secara adil, bebas dan telus mengikut undang-undang sedia ada.

"Undang-undang yang sama masih terpakai sekarang dan jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan undang-undang itu, saya rasa patut mereka jangan salahkan SPR. Dia kena cari saluran untuk menentukan supaya pihak berwajib diyakinkan bahawa undang-undang itu patut dikaji," katanya.

Beliau berkata SPR sedia untuk berdialog dengan mereka yang menuduh kononnya SPR tidak adil, tidak bebas dan tidak telus.