13 Mei: Budak dibunuh depan mata saya, kata penulis
Tiba-tiba saya ternampak sebilah parang dari belakang pagar buluh di rumah (Menteri Besar Selangor) Datuk Harun Idris, seorang budak (Cina) dibunuh dan dibuang ke dalam longkang.
Tiba-tiba saya ternampak sebilah parang dari belakang pagar buluh di rumah (Menteri Besar Selangor) Datuk Harun Idris, seorang budak (Cina) dibunuh dan dibuang ke dalam longkang.
"Saya amat terkejut. Oh Tuhan! ia berlaku benar-benar di depan mata saya," cerita penulis Ahmad Mustapha Hassan mengenai rusuhan berdarah 13 Mei 1969, yang tercetus di Kuala Lumpur.
Budak Cina tersebut, katanya, bekerja di sebuah kedai kopi berhampiran rumah Harun dan sedang menghantar minuman kepada mereka yang berada di situ, sebahagian besarnya anggota Pemuda Umno, yang berkumpul untuk menyertai perarakan yang dirancang diadakan pada hari berkenaan.
Rumah Harun di Kampung Baru, Kuala Lumpur menjadi tempat perhimpunan utama ahli-ahli Umno sebelum rusuhan tersebut tercetus.
"Dia hanya seorang remaja. Tanpa sebarang sebab, dia dibunuh," kata Mustapha dalam temubualnya baru-baru ini. Dia masih kelihatan terganggu dengan peristiwa tersebut.
Bekas setiausaha akhbar dua perdana menteri Malaysia itu menulis buku bertajuk 'The Unmaking of Malaysia', yang dilancarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam. Buku itu turut mencatatkan pengalamannya mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang, menurut angka rasmi, mengorban 196 nyawa.
Ahmad Mustapha yang merupakan ahli jawatankuasa Pemuda Umno ketika itu, terbabit dalam penganjuran perarakan pergerakan tersebut, hasil keputusan mesyuarat pada 12 Mei, sebagai membalas perarakan yang diadakan oleh pembangkang yang meraikan kemenangan mereka dalam pilihanraya.
Parti Perikatan yang memerintah, mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum pada tahun berkenaan.
"Dalam mesyuarat tersebut kita memutuskan untuk menunjukkan kekuatan kami - (untuk menunjukkan) bahawa kita tidak kalah dalam pilihanraya tesebut tetapi mencapai kemenangan. Kita juga mahu meraikan kemenangan tersebut.
Bagaimanapun, beliau mendakwa, Umno Umno "benar-benar tidak bersedia" ketika rusuhan itu tercetus pada 13 Mei dan beliau masih belum tahu siapakah yang harus dipertanggungjawabkan terhadap rusuhan tersebut.
Ikat kepala putih
Ketika menceritakannya semula, Ahmad Mustapha berkata mereka yang berkumpul di rumah Harun sedang bersiap sedia untuk mengadakan perarakan ke Jalan Chow Kit, di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.
"Saya adalah (antara mereka) yang mengepalai perarakan tersebut. Kami diberitahu rusuhan berlaku di Chow Kit, jadi kita memutuskan untuk berpatah balik ke rumah Datuk Harun," katanya.
Pada masa itulah, katanya, dia ternampak budak Cina tersebut dibunuh di depan rumah berkenaan.
"Kami masuk ke dalam rumah tersebut dan kami semua diberi kain ikat kepala berwarna putih," katanya, sambil menambah, semuanya berlaku dalam keadaan yang kelam kabut.
Menafikan bahawa Pemuda Umno ada kena mengena dengan kumpulan perusuh, Mustapha menulis dalam bukunya bahawa "unsur-unsur yang tidak bertanggungjawab" telah menyertai perarakan pergerakan itu dan mencetuskan keadaan yang tidak dapat dikawal lagi oleh pihak penganjur.
Beliau mendakwa, sehingga hari ini, beliau tidak tahu mengapa "senjata" disimpan di rumah Harun.
"Apakah mereka cuba membawa senjata itu keluar (ke jalan) dalam kegelapan malam?" soalnya, sambil menambah bahawa beliau tidak nampak Harun (kiri) pada hari berkenaan.
Ditanya sama ada beliau merasakan rusuhan itu sudah dirancang terlebih dahulu, beliau menjawab: "Saya rasa ia sesuatu yang sudah dirancang...mereka mengagak mungkin akan timbul masalah, jadi lebih baik bersiap sedia.
"Saya tidak tahu sama ada terdapat sebarang perancangan untuk melancarkan serangan, tetapi tujuannya adalah untuk bersiap sedia."
menceritakan kembali tentang apa yang berlaku, Ahmad Mustapha menulis, perarakan Pemuda Umno itu menjadi kelam kabut kerana pihak penganjurnya "kurang berpengalaman" dan tidak ada taklimat diberikan mengenai cara mengawalnya.
"Jika difikirkan, kita sebenarnya tidak membuat persedian secukupnya untuk mengadakan perarakan tersebut. Ia hanya merupakan keputusan yang tercetus ketika itu, yang dibuat oleh saya serta anggota lain jawatankuasa tersebut (pada 12 Mei 1969)," tulisnya dalam buku tersebut.
"Dalam mesyuarat tersebut, kami tidak membincangkan jalan-jalan yang akan dilalui tetapi kami diberitahu bahawa Pemuda Umno Selangor akan mengepalai perarakan itu, tetapi ahli-ahli jawatankuasa pusat mesti mengepalainya. Saya rasa, itulah salah komunikasi yang berlaku dalam hal tersebut. Tetapi memandangkan (perarakan) itu hendak diadakan juga, jadi biarkanlah."
Kejadian rusuhan 13 Mei terus menjadi perbahasan awam kerana tiada maklumat mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku.
Awal tahun ini, ahli akademik Dr Kua Kia Soong (kanan) dalam buku terbarunya menulis bahawa rusuhan tersebut sebenarnya satu percubaan untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.
Ini bercanggah dengan versi rasmi yang menyatakan rusuhan tersebut dicetuskan oleh 'provokasi' penyokong pembangkang yang dikuasai kaum Cina ketika meraikan kemenangan mereka dalam pilihanraya. Ini telah dipertikaikan oleh parti-parti pembangkang. Berita Asal

