Ada kemungkinan sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk terus menyiasat kesahihan klip video yang menunjukkan perbualan seorang peguam mengenai pelantikan hakim, kata salah seorang menteri yang ditugaskan untuk menyisat meneliti laporan panel khas yang menyiasat kes tersebut.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan mengumumkan tidak lama lagi, jika perlu, suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kesahihan klip video tersebut.

Beliau adalah antara tiga menteri yang ditugaskan meneliti laporan panel khas yang menyiasat kesahihan klip video tersebut. Dua lagi menteri yang dipilih ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Ketiga-tiganya dipilih berdasarkan latarbelakang mereka berkaitan undang-undang dan diberi tugas meneliti laporan khas panel itu dari segi perundangan. demikian menurut laporan Bernama.

"Bagaimanapun, kerajaan mempunyai pelbagai pendekatan untuk menyelesaikan kes ini dan kita tunggu sahaja Perdana Menteri akan umumkan keputusannya," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan buku bertajuk "Turunnya Sebuah Bendera" karya Allahyarham Datuk Dr Usman Awang di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) hari ini.

Pada 27 September lalu, kerajaan menubuhkan satu panel khas yang dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor selaku pengerusi, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

Laporan penuh panel khas itu telah dilengkapkan pada 6 November lalu. Beberapa akhbar melaporkan hari ini bahawa, dalam laporan tersebut, ketiga-tiga anggota panel itu menyarankan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat isu tersebut.

Terdahulu, buku "Turunnya Sebuah Bendera" yang dilancarkan Rais mengandungi 18 buah cerpen yang menceritakan situasi kehidupan rakyat pra-merdeka dan detik ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Buku itu diterbitkan oleh UA Enterprise Sdn Bhd dan diilhamkan oleh Haslina Usman yang juga anak kepada Sasterawan Negara itu yang meninggal dunia pada 29 November 2001.