Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menegaskan bahawa baginda dan Istana Negara tidak pernah memperkenan atau memberikan apa-apa sokongan secara lansung atau tidak langsung terhadap satu perhimpunan yang diadadakan di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, baginda melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenan dan menyokong perhimpunan haram tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, Seri Paduka juga melahirkan rasa kesal dengan perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang disokong parti-parti pembangkang.

Kira-kira 40,000 telah berhimpun di Istana Negara pada hari berkenaan dan satu memorandum menuntut pembaharuan pilihanraya di negara itu turut diserahkan kepada wakil istana.

Menurut Bernama, dalam kenyataan tersebut, Tuanku Mizan menegaskan baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa memperkenankan atau memberikan apa-apa sokongan secara lansung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terlibat dalam perhimpunan haram itu dan apa-apa jua kegiatan lain yang berkaitan yang menyalahi undang-undang negara.

Sabtu lalu, Bersih yang disertai oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang mengumpulkan penyokongnya di beberapa tempat di sekitar ibu kota termasuk Jalan Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Isnin lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata dalam satu kenyataan bahawa Bersih mengambil keputusan menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong setelah Tuanku sendiri memberikan perkenan baginda, dan kehadiran Bersih ke Istana Negara Sabtu lalu, adalah bagi menjunjung perkenan Tuanku untuk menyerahkan memorandum itu kepada wakil baginda.

Raja Perlembagaan

Tuanku Mizan bertitah, sebagai Ketua Utama Negara, baginda bertanggungjawab untuk memastikan bahawa prinsip sistem pentadbiran negara berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa dihormati dan dipatuhi oleh semua.

Baginda berharap agar rakyat Malaysia sentiasa bertindak dengan mematuhi undang-undang negara dan tidak melibatkan diri dalam apa-apa juga kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan

undang-undang negara.

"Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara," titah baginda.

Seri Paduka Baginda juga berharap agar rakyat dapat bersama-sama mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati.

Wan Mohd Safiain pula berkata pihak pengurusan Istana Negara buat pertama kalinya memanggil media untuk menghebahkan kenyataan ini kerana Yang di-Pertuan Agong memandang serius perkara itu.

"Kebiasaannya Istana Negara mengeluarkan kenyataan melalui faksimili, tetapi kali ini terpaksa memanggil media untuk memastikan ianya dapat dihebahkan kepada seluruh rakyat," katanya.