Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak notis usul dari Ketua Pembangkang, Teng Chang Kim untuk membentangkan rang undang-undang mewajibkan wakil rakyat dan ahli majlis daerah, mengisytiharkan harta mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP dari Sungei Pinang itu dimaklumkan mengenai perkara tersebut melalui sepucuk surat yang diterimanya semalam, atas alasan rang undang-undang "Enakmen Pengisytiharan Harta dan Pendapatan Keluarga 2007" itu adalah di luar bidangkuasa dewan undangan negeri.

Memetik peruntukan 27(5)(b) Peraturan Tetap (berhubung kuasa menolak usul), Speaker Tan Sri Onn Ismail menulis bahawa ia di luar bidangkuasa dewan undangan negeri kerana (mencadangkan) undang-undang yang sudahpun wujud di peringkat persekutuan.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor akan bermula Isnin depan hingga 22 November.

Rang undang-undang itu digubal mengikut model yang diamalkan di South Korea dan di Taiwan, di mana ianya dikenali sebagai 'Sunshine Law'.

Jika diluluskan, semua ahli majlis daerah, Adun dan ahli Exco diwajibkan mengisytiharkan harta dan pendapatan mereka akan digazet, dan boleh disemak oleh orang ramai.

Bagaimanapun, Teng berpendapat, cadangannya itu ditolak kerana rang undang-undang itu turut meliputi ahli Parlimen dan Senator yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri, dan dengan itu, ia dianggap melebihi bidangkuasa dewan undangan negeri.

'Tidak masuk akal'

Teng, ketika dihubungi, menyifatkan penolakan rang undang-undang tersebut yang didakwanya, atas alasan teknikal "yang tidak masuk akal" itu, mendedahkan niat sebenar kerajaan negeri.

"Ia tidak masuk akal. Rang undang-undang tersebut akan meliputi yang lain (pegawai kerajan yang dilantik dan dipilih) yang tidak diliputi di peringkat persekutuan," katanya.

"Pindaan boleh dibuat di peringkat kemudiannya jika ianya benar-benar dianggap perlu. Anda tidak seharusnya menolak semuanya atas alasan teknikal seperti itu," katanya.

Beliau sedang menimbang untuk membuat aduan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib atas kapasiti beliau (Ramli) sebagai ketua speaker dewan undangan negeri.

"Ini adalah satu penyalahgunaan peruntukan-peruntukan dalam Perintah Tetap," kata Teng.

Teng akan kembali menghadiri sidang dewan negeri itu Isnin ini selepas digantung selama 30 bulan mulai April 2005 apabila enggan meminta maaf selepas membuang salinan Perintah Tetap Dewan ke dalam bakul sampah. Berita asal