Beri bidangkuasa penuh pada suruhanjaya diraja
Suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video Datuk VK Lingam perlu diberi bidangkuasa penuh untuk memulihkan kebebasan badan kehakiman, kata Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP), Wee Choo Kong.
Suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video Datuk VK Lingam perlu diberi bidangkuasa penuh untuk memulihkan kebebasan badan kehakiman, kata Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP), Wee Choo Kong.
Wee yang juga seorang peguam berkata, siasatan suruhanjaya tersebut hendaklah merangkumi semua yang berlaku sejak tahun 1988.
Beliau merujuk kepada masa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri di mana Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas (kiri), dipecat oleh sebuah tribunal khas kerana, antara lain, mempersoalkan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa badan kehakiman.
Turut dipecat bersama Salleh ialah dua daripada lima hakim Mahkamah Agung - Tan Sri George Seah dan Allahyarham Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh - kerana memutskan bahawa tribunal itu tidak sah di segi perlembagaan.
Ramai pihak yang menyifatkan pemecatan mereka sebagai saat yang paling gelap bagi badan kehakiman.
"Kita mesti mengiktiraf dan menerima bahawa masalah dalam badan kehakiman bermula dengan pemecatan Tun Salleh Abas - Ketua Hakim Negara keenam - dan dua hakim Mahkamah Agung itu...," kata Wee.
Wee memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di pejabat MDP di Petaling Jaya hari ini yang diadakan untuk mendedahkan laporan polis yang dibuat olehThirunama Karasu Kandar Veluppillai - adik peguam Datuk VK Lingam - yang mendakwa berlaku perbuatan rasuah oleh Lingam dan hakim-hakim berjawatan tinggi.
Wee juga mempersoalkan mengapa pihak polis yang seolah-olah tidak banyak bertindak walaupun Thirunama membuat laporan yang mengandungi dakwaan tersebut enam bulan sebelum klip video Lingam didedahkan kepada umum.
Klip video selama lapan minit yang didedahkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September lalu, menunjukkan perbualan telefon Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Negara yang baru bersara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mengatur pelantikan hakim-hakim yang 'sehaluan'.
Dua bulan selepas skandal itu didedahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Jumaat lalu, penubuhan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video Lingam itu.
Abdullah berkata, keputusan untuk menubuhkan suruhanjaya itu dibuat berdasarkan kepada hasil siasatan panel tiga orang anggota - yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaysia, Tan Sri Haidar Mohd Noor - yang ditugaskan untuk menentukan kesahihan klip video tersebut.
Bidangkuasa dan pemilihan anggota suruhanjaya itu akan ditentukan dalam mesyuarat mingguan kabinet Rabu ini, kata Abdullah.
Sambil mengalu-alukan penubuhan suruhanjaya tersebut, Wee menggesa kerajaan supaya memberi perhatian kepada gesaan supaya dipulihkan kebebasan badan kehakiman.
Beri kuasa penuh
Untuk melakukannya, kata Wee, kerajaan mesti memberi kuasa penuh kepada suruhanjaya diraja itu untuk menangani isu-isu dan implikasi yang timbul dari klip video Lingam itu.
Ini termasuk keputusan Ahmad Fairuz untuk membatalkan kemenangan Wee bagi kerusi Parlimen Bukit Bintang di Kuala Lumpur, dalam pilihanraya umum 1995. Wee bertanding atas tiket DAP.
Ahmad Fairuz tidak mengarahkan pilihanraya kecil diadakan, tetapi sebaliknya membuat keputusan mengumumkan lawan Wee - Dr Lee Chong Meng dari MCA - sebagai pemenangnya.
Nama Wee turut disebut oleh Lingam dalam klip video tersebut - yang dikatakan dirakam pada tahun 2002 - berhubung kes tersebut.
Wee berkata, keputusan Ahmad Fairuz itu meupakan satu penghinaan terhadap prinsp asas demokrasi bahawa seorang ahli Parlimen mesti dipilih oleh rakyat dan bukannya oleh hakim mahkamah pilihanraya.
Ianya bercanggah dengan prinsip perundangan bahawa dalam keadaan seperti itu, sepatutnya pilihanraya kecil diarah diadakan.
Wee menyifatkan dirinya sebagai "mangsa" kepada 'kereputan' badan kehakiman.
"Masyarakat sivil menuntut dijalankan siasatan terperinci oleh suruhanjaya diraja yang diberi bidangkuasa seluas mungkin untuk menyiasat punca kereputan dalam badan kehakiman dengan rujukan khusus kepada pemecatan Sallehpelantikan hakim-hakim selepas itu, klip video berkenaan, dan dakwaan yang amat serius yang dibuat oleh adik Datuk VK Kanagalinam sendiri," kata Wee. Berita asal

