Jangan singgung mana-mana pihak: PM nasihat Khir Toyo
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menasihatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo supaya memikirkan kaedah lain bagi menilai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu, mengikut cara yang tidak menyinggung mana-mana pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menasihatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo supaya memikirkan kaedah lain bagi menilai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu, mengikut cara yang tidak menyinggung mana-mana pihak.
Sejak isu pemberian anugerah penyapu kepada PBT disiarkan di dalam media, Abdullah berkata, terdapat dua pandangan wujud dalam kalangan rakyat.
"Ada rakyat yang menerima cara itu dan ada rakyat tidak menerima pandangan itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, di Kuala Terengganu semalam.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri telah menghubungi Dr Mohd Khir bagi mendapatkan penjelasan bagaimana keputusan pemberian anugerah itu dilakukan dan diberitahu keputusan itu dibuat setelah mengadakan mesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Setelah mendengar penjelasan Dr Mohamad Khir, Abdullah berkata, beliau meminta Menteri Besar Selangor itu memikirkan kaedah lain dengan membincangkan perkara itu dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri, demikian menurut laporan Bernama.
Isnin lalu, pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007 Dr Mohd Khir menghadiahkan penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor yang diwakili oleh Yang Dipertuanya, Tukiman Nail dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana tidak mencapai sasaran kutipan cukai.
'Bukan isu peribadi'
Beberapa pihak lain termasuk ulama dan kesatuan-kesatuan sekerja mengecam langkah itu dan menyifatkannya sebagai terlalu hina dan mengaibkan kakitangan awam.
Justeru itu, Dr Mohd Khir berkata tidak akan memberikan penyapu sebagai anugerah kepada PBT yang gagal memperoleh tahap pencapaian minimum tahun depan, sebaliknya mengarahkan para pegawai atasan PBT melepaskan jawatan masing-masing dengan bersara awal atau mengambil VSS.
Sementara itu di Shah Alam, Dr Mohd Khir meminta supaya Jangan anugerah penyapu dijadikan sebagai isu peribadi.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa anugerah penyapu itu disampaikan kepada jabatan dan bukan kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor
Tukiman Nail secara peribadi.
"Penyapu itu diberi kepada Majlis Daerah Hulu Selangor, bukan kepada Tukiman (sebagai individu).
"Beliau sepatutnya beritahu kakitangannya bahawa kerajaan negeri bermaksud untuk beri tindakan tegas agar mereka sama-sama berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita Barisan Nasional (BN) Selangor semalam.
Jawapan MB
Dr Mohd Khir diminta Menteri Besar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tukiman yang disiarkan sebuah akhbar semalam bahawa beliau lebih rela bersara awal atau mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) daripada dihadiahkan penyapu.
Beliau mendakwa tindakan Menteri Besar yang menghadiahkan penyapu amat sukar untuk diterima sebagai kakitangan kerajaan yang telah berkhidmat selama 28 tahun.
Kenyataan Tukiman itu ternyata berbeza daripada kenyataannya sebelum ini yang mahu menjadikan penyapu yang diterimanya daripada Menteri Besar sebagai sumber inspirasi untuk bekerja keras.
Dr Mohd Khir berkata isu pemberian anugerah tersebut sudah lama dipersetujui dan diputuskan termasuk semua Yang Dipertua dan dilaksanakan berdasarkan persetujuan tersebut.
"Saya dah katakan mungkin akan dapat penyapu dan tiada seorang pegawai pun yang tulis surat atau jumpa saya termasuk Tukiman. Kita tak naklah orang yang cakap siang lain tapi malam cakap lain. Kita kena tegas, kalau tak setuju kena beritahu awal-awal sebab ini bukan benda baru."

