Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah memfailkan permohonan untuk membuang beberapa perenggan dalam kenyataan pembelaan Malaysiakini , yang menurutnya 'tidak penting' terhadap saman fitnahnya, termasuk maklumat mengenai perniagaan keluarganya.

Afidavit yang difailkan oleh peguamnya, Yee Mei Ken dari Shearn Delamore berhujah bahawa fakta-fakta tersebut telah terkeluar dari bidang kes tersebut dan mesti dibuang.

Taib telah memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Mei lalu berhubung beberapa siri artikel yang mendakwa pembabitannya dalam skandal sogokan balak.

Beliau menamakan Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan dalam saman tersebut.

Taib membantah terhadap bahagian-bahagian kenyataan pembelaan:

Dakwaan Malaysiakini bahawa beliau telah menyalahgunakan proses kehakiman kerana gagal mengambil tindakan undang-undang terhadap sumber asal dakwaan sogokan balak itu seperti akhbar Japan Times dan Kyodo News serta menggunakan saman tersebut untuk menafikan anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak peluang untuk membahaskan isu tersebut:

Butir-butir terperinci mengenai dakwaan pembabitan keluarganya dalam syarikat konglomerat Cahaya Mata Sarawak Bhd (lihat carta);

'Komen yang adil' oleh Malaysiakini ; dan

Kaitan yang dibuat antara dua adik lelakinya dengan Dewan Niaga (Sarawak) Sdn Bhd, ejen tunggal perkapalan balak keluar dari negeri tersebut.

Malaysiakini telah mengarahkan para peguamnya dari Azzat & Izzat untuk mencabarkan permohonan Taib tersebut.

"Kami percayai, permohonan untuk membuang bahagian-bahagian dalam pembelaan kami itu sebagai mengganggu dan tanpa merit," kata Gan.

"Perenggan-perenggan yang dipohon dibuang oleh Taib adalah sangat penting untuk menyokong pembelaan kami."

Berikutan bantahan Malaysiakini terhadap permohonan itu, perkara tersebut akan didengar Rabu ini.

Latarbelakang saman

Taib turut memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuching terhadap dua pemimpin parti pembangkang - Ketua PKR negeri itu, Wan Zainal Wan Sanusi dan ketua PKR cawangan Stampin, See Chee How - kerana mengedarkan risalah yang mengandungi artikel dari Malaysiakini dan Japan Times .

Malaysiakini melaporkan perkara tersebut seminggu selepas akhbar Japan Times menyiarkan artikel mengenainya pada 29 March 2007, dan membuat susulan melalui isu khas yang bertajuk: RM32 mil kickbacks - tip of the iceberg.

Menurut akhbar Japan Times , 'rasuah' berjuta-juta ringgit itu didakwa dibayar sepanjang tempoh tujuh tahun kepada sebuah syarikat Hong Kong, Regent Star, yang dikatakan ada kaitan dengan Taib dan keluarganya.

Wang tersebut dikatakan dibayar oleh satu kartel Jepun yang terdiri daripada sembilan syarikat yang membeli balak dari Sarawak.

Ia didakwa membayar 1.1 bilion yen (RM32 juta) kepada Regent Star untuk perkhidmatan yang diberikan dalam urusniaga tersebut. Ia dikatakan sebagai perbelanjaan perniagaan, dan oleh itu tidak dikenakan cukai.

Bagaimanapun, pihak berkuasa percukaian Jepun mendapati ia adalah "perbelanjaan yang tidak sah" kerana agensi Hong Kong tersebut - yang dipercayai wujud atas kertas sahaja - tidak melakukan kerja-kerja yang menjustifikasikannya untuk menerima bayaran-bayaran tersebut.

Sebaliknya, Biro Percukaian Wilayah Tokyo mengklasifikasikannya sebagai "rebet" yang dikenakan cukai.

Pihak akhbar melaporkan bahawa firma-firma perkapalan tersebut mungkin diarah membayar tunggakan cukai berjumlah lebih 400 juta yen (RM11.6 juta) bersama hukuman yang berat kerana "menyembunyikan" dana tersebut daripada pengetahuan pihak berkuasa.

Syarikat-syarikat tersebut disyaki telah membuat bayaran tersebut kepada ejen Hong Kong tersebut selama 26 tahun, dan oleh itu, jumlah pendapatan itu boleh mencecah beberapa kali ganda angka yang disebut oleh sumber-sumber.

Bagaimanapun, Pendaftar Syarikat Kong menyatakan dalan satu notis bahawa Regent Star telah memohon untuk membatalkan pendaftarannya. Berita asal