Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu mengesahkan parti itu akan bertanding dua kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Rusli Baba berkata, dua kerusi Parlimen terbabit ialah Kemaman dan Dungun yang kini kedua-duanya diwakili oleh Umno.

PKR pernah memenangi kerusi Kemaman dalam pilihanraya umum 1999 melalui calonnya, Abdul Rahman Yusof. Beliau bagaimanapun tewas kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Datuk Ahmad Shaberry Cheek dalam pilihanraya umum 2004.

Manakala lima kerusi DUN ialah Telemong, Kota Putera, Permaisuri, Bandar dan Bukit Besi.

Menurut Rusli, kerusi DUN Bandar pula masih lagi dalam peringkat rundingan dengan PAS.

Menurutnya, keputusan pembahagian kerusi tersebut dicapai dalam perbincangan antara kedua-dua parti baru-baru ini.

Semalam, Pengarah pilihanraya PAS Pusat yang juga pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali berkata, pembahagian kerusi antara kedua-dua parti telah selesai dan terserah kepada pihak pusat untuk membuat keputusan muktamad.

Calon wanita

Ketika ini PAS memenangi empat kerusi DUN. PAS memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Rusli berkata, seorang wanita dijangka bertanding mewakili PKR di Telemong dalam pilihanraya umum akan datang.

"Kami juga telah mengenalpasti calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya kali ini, dan semuanya merupakan muka baru yang tidak pernah bertanding sebelum ini.

"Berdasarkan mood rakyat sejak kebelakangan ini, peluang PKR untuk menang adalah cerah, terutama di kerusi-kerusi DUN," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rusli berkata, secara keseluruhannya PKR boleh mencapai keputusan yang lebih baik daripada tahun 1999 berdasarkan beberapa faktor.

Antara factor tersebut, katanya, ialah kenaikan harga barangan keperluan harian secara mendadak dan peluang pekerjaan yang semakin kurang di negeri itu.

Sementara itu, katanya, bancian pihaknya mendapat setiap DUN mengalami peningkatan pengundi antara 1,000 hingga 2,000 orang berbanding pada tahun 2004.

Katanya, peningkatan tersebut adalah kerana pertambahan penduduk dan jumlah pendaftar baru terutama di kalangan generasi muda.