Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuba jimat kos, alat rawatan barah lambat sampai - audit
Diterbitkan:  Jul 21, 2025 1:43 PM
Dikemaskini: Jul 22, 2025 1:46 PM

Kelewatan pembekalan peralatan linear accelerator (Linac), CT simulator dan mesin contrast injector mengikut tempoh yang ditetapkan menjejaskan perkhidmatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Kelewatan memulakan rawatan di situ memberi kesan kepada kelangsungan terhadap 20 pesakit apabila tempoh menunggu menjadi antara satu hingga lapan minggu.

Laporan audit yang dikeluarkan hari ini menyatakan syarikat berkenaan (direkodkan sebagai 0074062-D) sepatutnya menghantar peralatan tersebut pada 18 Sept tahun lalu.  

Namun, sehingga siasatan audit selesai pada 17 Januari, peralatan itu belum sampai ke hospital – yang kini dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).  

“Kelewatan memulakan rawatan telah memberi impak kepada survival pesakit melibatkan 20 pesakit dengan tempoh menunggu antara satu hingga lapan minggu,” menurut laporan audit.  

Syarikat itu mengemukakan rayuan pada 2 Julai 2024 untuk mendapatkan lanjutan tempoh serahan keseluruhan tender sehingga 15 Feb 2025.

Seterusnya HCTM meluluskan permohonan tersebut untuk kali pertama kepada 12 Feb lalu.

Kata laporan tersebut, permohonan lanjutan kedua pula dikemukakan pada 5 Dis tahun lalu namun tidak diluluskan kerana syarikat terbabit tidak menyatakan tempoh yang diingini. 

Siasatan mendapati kelewatan ini bukan semata-mata kesilapan syarikat, tetapi juga jawatankuasa tender hospital.  

Semasa proses tender, jawatankuasa pratender, penilaian teknikal dan penilaian kewangan tidak mencadangkan pelantikan 0074062-D, walaupun syarikat itu lulus penilaian asas.  

Namun, jawatankuasa tender meluluskan 0074062-D dengan alasan memenuhi 90.36 peratus kriteria teknikal, menawarkan harga kedua terendah (RM22 juta) dan kos penyelenggaraan termurah (RM960,000/tahun) berbanding RM1.09 juta/tahun oleh pembida terendah.

Secara keseluruhannya jawatankuasa penilaian teknikal mengesyorkan syarikat 0050470-K, syarikat 0486369-P dan syarikat 0036155-P yang lulus penilaian teknikal.

Syarikat itu, kata laporan tersebut, berada pada kedudukan pertama hingga ketiga dengan markah petenda antara 93.07 peratus hingga 98.05 peratus.

Secara keseluruhannya, jawatankuasa penilaian teknikal mengesyorkan petender di kedudukan pertama yang lulus penilaian kewangan dengan menawarkan harga terendah iaitu syarikat 0486369-P.

Audit turun membongkar dua tender lain HCTM: 

1. Pembekalan makanan: Kontrak RM25.6 juta diberikan kepada syarikat tidak berpengalaman tanpa sijil halal, walaupun tidak dicadangkan jawatankuasa kewangan.  

2. Naik taraf lif: Kontrak RM10.8 juta diberikan kepada syarikat (0726241-U) yang mempunyai rekod "projek sakit", bertentangan garis panduan tender kerja besar.  

HCTM mempertahankan keputusan dengan mendakwa banyak kerja syarikat sebenarnya masih dalam tempoh. 

Namun, Jabatan Audit menegaskan syarikat berkenaan tidak sepatutnya dipertimbangkan langsung memandangkan rekod buruknya.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS