Seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menghadapi siasatan dalaman disiplin, tidak dibenar menggunakan khidmat peguam untuk mewakilinya.

Pihak berkuasa universiti tersebut berkata, Lee Song Yong, 22, tidak perlu diwakili peguam kerana ia hanya satu siasatan dalaman disiplin dan bukannya 'prosiding mahkamah' sebenar.

Lee, seorang aktivis dari kumpulan anti-establishment, didakwa menghalang pegawai kampus daripada menjalankan tugas mereka untuk merampaskan barang peribadinya menjelang pilihanraya kampus Oktober lalu.

Siasatan dalaman itu sejadual dijalan hari ini, tetapi ditangguhkan hingga Khamis ini untuk memberi lebih masa kepada Lee untuk membuat persiapan.

Pihak universiti juga berkata, ibubapa Lee dilarang menghadiri prosiding siasatan tersebut.

Hanya seorang perwakilan pelajar dibenarkan menemani Lee di prosiding tersebut.

Pelajar tahun dua pengajian komputer sains itu diarah membela dirinya terhadap tuduhan tersebut. Panel penyiasat enam anggota yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor, Prof Tai Shzee Yeu akan menjalankan siasatan dalaman itu.

Lee mencabar arahan tersebut atas alasan tidak diberi notis yang mencukupi - ia diserahkan kepadanya Rabu lalu.

Lee telah menghantar surat kepada bahagian hal-ehwal pelajar Jumaat lalu, meminta penangguhan dan untuk peguamnya mewakilinya dalam siasatan tersebut.

Pada 22 Ogos lalu, Lee ditahan oleh pegawai keselamatan di pintu keluar universiti untuk diperiksa dan buku nota Lee kemudiannya diambil atas alasan dia sedang disiasat kerana menjadi ahli pertubuhan pelajar yang tidak sah.

Lee pada mulanya enggan memenuhi tuntutan pegawai kampus tersebut kerana mereka kelihatan mencurigakan kerana tidak tidak memakai pakaian pegawai keselamatan.

Tiga hari buat persediaan

Ketika dihubungi, peguam Lee, Sunil Lopez berkata tempoh penangguhan yang singkat itu tidak memberi masa yang mencukupi kepada pelanggannya untuk menyediakan pembelaannya.

Peguam tersebut menambah, keadaan itu diburukkah lagi apabila beliau tidak dibenarkan mewakili Lee dalam siasatan tersebut.

"Apa yang pihak universiti beritahu kami tidak dapat diterima dan tidak masuk akal. Lee berhak mendapatkan khidmat peguambela, memandangkan dia didakwa atas tuduhan bagi kesalahan yang dia percayai tidak dilakukannya," kata Sunil.

Prosiding hari ini juga menyaksikan pihak universiti melarang pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), pihak media dan pertubuhan pelajar daripada masuk ke dalam premis universiti.

Sekumpulan kira-kira 30 penyokong Lee kemudiannya mengadakan protes 'mini' di hadapan bangunan pengawal keselamatan, dengan membawa kain rentang bertulis 'Hentikan prosiding, mulakan prosedur' dan 'Tamatkan salahguna kuasa'.

Bagaimanapun, 10 pengawal keselamatan universiti tidak meleraikan demonstrasi tersebut tetapi sebaliknya membuat rakaman video mereka yang menyertai protes tersebut. Berita asal