Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Era Madani bukti kematangan demokrasi, rakyat berhimpun tanpa gangguan'
Diterbitkan:  Jul 27, 2025 11:18 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Pengarah Komunikasi PKR, Adam Adli berkata penganjuran himpunan aman oleh pembangkang semalam membuktikan bahawa di bawah kerajaan Madani, ruang demokrasi di Malaysia semakin matang dan terbuka.

"Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil, dan perbezaan pendapat dijenayahkan. Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan.

"Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Adam berkata kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat.

"Hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi.

"Dalam suasana baru ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan," katanya.

Adam turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan, yang menurutnya menunjukkan tahap profesionalisme tinggi dan kepekaan terhadap hak rakyat.

"Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita; mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara,” tambahnya.

Justeru katanya PKR melihat himpunan semalam bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.

"Perbezaan pandangan harus diraikan. Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang; kedua-duanya penting dan wajar dilindungi.

"Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi. Persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama?"soalnya.

Semalam berlangsung perhimpunan Turun Anwar anjuran PN di ibu negara yang menyaksikan ribuan berhimpun di Dataran Merdeka bagi mendesak perdana menteri meletakkan jawatan.

Malaysiakini menganggarkan perhimpunan itu dihadiri 25,000 peserta dan berlangsung secara aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS