Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai dakwa gencatan senjata Thailand, Kemboja berjaya sebab Trump
Diterbitkan:  Jul 28, 2025 9:34 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

Setiausaha Akhbar White House Karoline Leavitt memberi pujian kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump atas peranannya dalam gencatan senjata antara Thailand dan Cambodia.

Malah Leavitt berkata Trump seharusnya diberi hadiah Keamanan Nobel atas kejayaan itu.

“Presiden Trump yang menjayakan (gencatan senjata). Berikan dia Hadiah Keamanan Nobel!” tulisnya di X, disertakan dengan tangkap layar artikel New York Times yang menggambarkan rundingan itu sebagai “perbincangan yang disokong AS”.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Asean menjadi orang tengah dalam mesyuarat khas melibatkan kedua-dua negara di Putrajaya hari ini, yang disertai Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.

Thailand dan Kemboja setuju melaksanakan gencatan senjata bermula tengah malam ini, yang akan meredakan pertempuran di kawasan sempadan sekitar Preah Vihear yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 33 nyawa sejak 25 Julai lalu.

Rundingan tersebut turut membawa kepada beberapa komitmen bersama oleh kedua-dua negara, bertujuan memulakan semula dialog dan mengekalkan keamanan, dengan Malaysia bertindak sebagai pemudah cara dan pemerhati.

Turut serta dalam perbincangan hari ini ialah Duta AS ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Menurut kenyataan bersama Malaysia, Kemboja dan Thailand, AS adalah penganjur bersama perbincangan manakala China sebagai pemerhati.

Sebelum perbincangan hari ini, AS, China dan Malaysia telah menggesa Kemboja dan Thailand untuk menghentikan pertempuran.

Trump dilaporkan memberitahu Kemboja dan Thailand bahawa tidak wajar bagi AS meneruskan rundingan perdagangan dengan mereka selagi pertempuran masih berterusan.

Thailand merupakan sekutu perdagangan AS manakala China merupakan rakan dagang terbesar Thailand dan Kemboja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS