PAS sokong koridor pembangunan ekonomi
PAS menyokong dan menyambut baik wilayah pembangunan ekonomi kerana ia boleh memajukan orang Melayu, terutama penduduk luar bandar di kawasan terbabit.
PAS menyokong dan menyambut baik wilayah pembangunan ekonomi kerana ia boleh memajukan orang Melayu, terutama penduduk luar bandar di kawasan terbabit.
Setakat ini kerajaan telah melancarkan tiga koridor ekonomi iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Koridor Ekonomi Utara (NCER) dan Wilayah Koridor Ekonomi Timur (ECER).
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menjaga kepentingan rakyat supaya mereka mendapat manfaat daripada pembangunan wilayah-wilayah tersebut.
Antaranya, kata beliau ialah supaya tanah milik orang Melayu tidak terlepas kepada orang asing seperti yang berlaku di dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).
"Dasar kerajaan ialah lebih mengutamakan pelabur dan pemaju dan bukannya kepada rakyat khususnya orang Melayu," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Hak orang Melayu
Ketiga-tiga wilayah pembangunan ekonomi itu dimajukan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Khazanah Nasional memajukan WPI, Petronas (ECER) dan Sime Darby (NCER).
Mahfuz berkata, amat penting untuk kerajaan merangka kawalan tanah supaya tidak terlepas kepada pelabur asing.
Beliau berkata, sepatutnya kerajaan mengadakan perbincangan dengan semua pihak sebelum memperkenalkan koridor ekonomi.
"Ini bukan bermakna PAS mahu menafikan hak orang lain tetapi kerajaan perlu mengutamakan rakyat tempatan," katanya.
Mahfuz berkata, PAS tidak mahu apa yang terjadi kepada orang Melayu di WPI turut berlaku di wilayah pembangunan ekonomi lain.
Katanya, menurut laporan United Engineer Malaysia (UEM) antara pemaju di WPI, sebahagian besar tanah di dalam wilayah tersebut telah dibeli oleh pelabur Singapura.

