Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno bidas sikap ahli politik rendah komitmen damai, sejagat
Diterbitkan:  Jul 29, 2025 4:20 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Umno membidas sikap tidak bertanggungjawab ahli politik tertentu di negara ini yang meremehkan usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja khususnya melalui inisiatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sikap itu bukan sahaja mencemarkan imej negara di mata dunia, malah mencerminkan betapa rendah komitmen pengkritik terhadap isu kemanusiaan.

"Sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencemar imej negara di mata dunia, malah mendedahkan betapa rendahnya komitmen mereka terhadap prinsip kemanusiaan dan perdamaian sejagat.

"Justeru, Umno menyeru semua pihak agar menilai isu-isu antarabangsa secara matang dan berhemah.

"Jangan sesekali meletakkan kepentingan politik melebihi keperluan untuk menjaga nama baik negara dan maruah rakyat Malaysia di peringkat global," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walaupun tidak memetik sebarang nama, dipercayai kenyataan Wan Rosdy itu melibatkan hantaran media sosial Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, terkait isu serantau.

Ia melibatkan kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang, manakala seekor monyet digambarkan bertindak sebagai hakim.

Patut disokong semua pihak

Gambar itu disertakan kapsyen: "Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang,".

Hantaran itu turut disertakan dengan tangkap layar laporan berita mengenai konflik berdarah melibatkan Thailand dan Kemboja. Ia kemudian segera menerima kecaman orang ramai.

Bagaimanapun hantaran berkenaan dipadamkan tidak lama kemudian.

Semalam, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.

Persetujuan itu dicapai hasil mesyuarat khas dipengerusikan Anwar di Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat berkenaan.

Wan Rosdy berkata, konflik di antara Thailand dan Kemboja merupakan isu serius dan berpotensi mencetuskan krisis serantau di Asia Tenggara, termasuk memberi kesan langsung kepada Malaysia.

Oleh itu katanya langkah perdana menteri selaku Pengerusi Asean serta Menteri Luar Mohamad Hasan yang memimpin usaha damai melibatkan Bankok dan Phnom Penh adalah sesuatu yang perlu didukung oleh seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira ideologi politik.

Kejayaan itu, kata Menteri Besar Pahang berkenaan, turut memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai pemain diplomatik yang dihormati di peringkat antarabangsa.

"Malangnya, terdapat segelintir pihak yang memilih untuk memperlekeh, memperkecil serta menghina usaha rundingan ini termasuk dengan menggunakan perumpamaan yang biadab dan tidak mencerminkan akhlak serta nilai seorang pemimpin," katanya lagi.

Jaga standard sebagai pemimpin

Sementara itu PKR menganggap tindakan Ahmad Fadhli itu sebagai “kurang berperikemanusiaan” dan wajar dikecam kerana menghina Malaysia dalam mendamaikan dua negara yang sedang mengalami konflik.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad, berkata perbuatan tersebut bukan sahaja menghina misi kedamaian dibawa Malaysia dan menyelamatkan ribuan nyawa, tetapi juga biadab.

“Ahmad Fadhli perlu memohon maaf kepada rakyat Thailand dan Kemboja, selain Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri,” katanya.

Tambah Saifuddin, langkah Ahli Parlimen Pasir Mas itu menggambarkan PAS sebuah parti yang tidak peka dengan isu geopolitik dan keamanan sejagat demi laba politik picisan.

Saifuddin Shafi Muhammad

“Mungkin ini juga adalah kekecewaan PAS atas kegagalan menarik sokongan rakyat dalam demonstrasi yang dianjurkan minggu lalu.

“Maka dengan itu PKR menyeru Ahmad Fadhli berhenti daripada menjadi badut politik yang niatnya untuk menghiburkan namun kesannya amat mencalar imej Malaysia.

“Jauhilah sikap tidak beretika terutama dalam usaha diplomasi yang dimainkan oleh negara.

“Jagalah standard selaku ketua penerangan, jangan sampai tidak peduli soal maruah negara dan hanya mengejar publisiti murahan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS