Hampir separuh bahagian Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan elektrik selama lebih sejam mulai jam 3.20 petang ini dipercayai berpunca daripada saluran utama pembekalan elektrik ke bahagian pulau di Juru terpelantik.

Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) petang tadi

Antara kawasan yang terlibat ialah sekitar Jalan Datuk Keramat, Komtar, Jalan Sultan Ahmad Shah, Lebuh Light, Lebuh Pantai, Lebuh Chulia dan beberapa kawasan sekitarnya.

Menurut Bernama, kebanyakan peniaga di beberapa pusat membeli-belah di Georgetown terpaksa menggunakan lilin untuk meneruskan operasi mereka manakala sebahagiannya menutup kedai bagi memastikan keselamatan harta benda semasa ketiadaan bekalan elektrik.

Sebahagian besar kakitangan awam yang bertugas di bangunan Komtar berhimpun di perkarangan bangunan dan pasukan Bomba dan Penyelamat bergegas ke Menara Komtar bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di dalam lif di situ.

Koh berkata pada mulanya TNB memberitahu bahawa masalah itu dapat diatasi dalam masa singkat tetapi setelah menunggu lebih sejam beliau mencadangkan supaya persidangan dewan ditangguhkan.

Kesal dengan kejadian itu, Ketua Menteri itu mengarahkan TNB supaya menyediakan set generator serta menempatkan kakitangan khusus untuk mengendalikan peralatan itu di DUN esok, bagi memastikan persidangan tidak tergendala lagi.

"Kejadian ini dianggap serius kerana ia bukan sahaja menjejaskan perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri malahan semua pihak terlibat sama ada peniaga dan penduduk. Sebarang gangguan bekalan elektrik adalah serius kepada semua orang," katanya.

Koh, yang tidak pasti sama ada kawasan perindustrian bebas Bayan Lepas turut terjejas dengan kejadian itu, mengarahkan TNB agar meningkatkan perkhidmatan mereka dan memastikan kejadian sedemikian tidak berulang lagi.

"Saya rasa tidak suka, tidak senang hati dan ingin menegur TNB kerana perkara ini berlaku. Memang kita boleh sediakan generator di Dewan Undangan Negeri tetapi kemudahan ini tidak dapat dibekalkan kepada semua rakyat," katanya.