Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur Datuk Shazeli Kahar dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Shazeli mengambil alih tugas Datuk Hussein Omar Khan yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak 21 Julai lepas.
Jawatan itu sebelum ini dipangku Timbalan Ketua Polis Selangor Mohd Zaini Abu Hassan.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Shazeli diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (Jlog) Bukit Aman CP Gilberd Philip Layang.
Shazeli dalam ucapannya berkata pelantikan itu satu amanah besar yang dipertanggungjawabkan terhadap dirinya selain menzahirkan komitmen untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran kontinjen serta memastikan keamanan dan ketenteraman di Selangor kekal terjamin.
"Sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu saya menyedari harapan masyarakat dan warga PDRM terhadap kepimpinan yang berintegriti dan berwibawa seta dekat di hati.
"Justeru, saya bertekad meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dibina serta memacu perubahan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan Selangor kekal terpelihara," katanya.
Shazeli, 50, yang telah berkhidmat hampir 25 tahun memulakan kerjayanya sebagai pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak sebelum dilantik ke pelbagai jawatan strategik di Bukit Aman.
Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan dalam Cawangan Khas termasuk melibatkan ekstremis sosial dan pelampau agama sebelum diberi tanggungjawab mengetuai Cawangan Khas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Sementara itu, ditemui selepas majlis tersebut, Shazeli berkata, beliau berazam untuk menumpukan usaha meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap perkhidmatan pasukan keselamatan itu di negeri ini.
Beliau yang memulakan tugas secara rasmi hari ini berkata usaha itu akan membantu mempermudahkan tugasan pasukannya dalam mengurus isu berbangkit melibatkan jenayah dan ketenteraman awam dengan lebih optimum.
Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di Selangor berada pada tahap terbaik.
"Tugas saya yang pertama ialah untuk berusaha bersama pasukan dalam meningkatkan persepsi positif masyarakat Selangor terhadap PDRM.
"Persepsi positif ini berkait rapat dengan pelbagai isu yang boleh diuruskan, dan daripada situ kita akan susun langkah seterusnya mengikut keperluan," katanya.
- Bernama
