Lingam dipanggil BPR hari ini
Peguam Datuk VK Lingam telah dipanggil ke ibupejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya hari ini.
Pengarah Bahagian Siasatan BPR, Mohd Shukri Abdull (foto) berkata, Lingam panggil untuk memberi kenyataan berhubung dakwaan yang dibuat oleh adiknya, Thirunama Karasu.
Ini merupakan kali kedua Lingam bertemu dengan BPR.
Bagaimanapun, Shukri memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan hari ini bukan mengenai kes klip video Lingam.
Peguam tersebut dilihat memasuki kawasan lobi pada kira-kira jam 10 pagi.
Dalam laporan polisnya tahun lalu, Thirunama mendakwa abangnya itu mempunyai hubungan rapat dengan hakim-hakim yang berjawatan tinggi, dan secara tidak langsung mendakwa Lingam juga terbabit dengan amalan rasuah.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Lingam mendakwa Thirunama menghadapi masalah "halusinasi, kecenderungan kuat untuk membunuh diri, delusi dan depresi".
Thirunama dipanggil ke BPR ibupejabat BPR di Putrajaya semalam untuk memberi keterangan mengenai dakwaan terhadap abangnya itu.
Klip video
Thirunama (foto) menemui pegawai BPR pada jam 11.30 pagi dan muncul kira-kira tujuh kemudiannya.
Lingam kini menjadi tumpuan utama kontroversi yang tercetus ekoran pendedahan klip video yang menunjukkan perbualan telefonnya, dikatakan pada 2020, mengenai pelantikan hakim-hakim yang 'sehaluan'.
Lingam didakwa berbual dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Ahmad Fairuz bagaimanapun telah menafikan sebarang kaitan dengan klip video tersebut.
Beliau bersara sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Oktober lalu.
Wartawan terserempak dengan Lingam secara kebetulan ketika mereka berada di ibupejabat BPR untuk program yang lain.
Mereka sedang menunggu di luar lbi dari jam 10 pagi untuk menghadiri sidang akhbar oleh Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor.
Sejurus kemudian Lingam tiba dan terus berjalan menuju ke kawasan lobi tersebut.
Pada masa itu, para wartawan tidak pasti sama ada orang itu adalah Lingam kerana gambar peguam itu yang disiarkan baru-baru ini menunjukkan beliau menyimpan misai.
Bagaimanapun, mereka terus memantau kereta yang membawanya yang diletakkan dekat itu, tetapi tidak perasaan bila ia dipandu dari situ oleh individu yang tidak dikenali pada kira-kira jam 10.15 pagi.
Jurugambar dan wartawan terus bergegas ke tempat letak kereta di bawah bangunan di mana jurugambar Harakah, Wan Zahari Salleh sempat mengambil beberapa gambar Lingam masuk ke keretanya.
"Dia nampak relaks," kata Wan Zahari sambil menambah, Lingam ditemani ke keretanya oleh beberapa individu yang tidak dikenali.

