Peguam Datuk VK Lingam hari ini dipanggil memberi keterangan di ibupejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya hari ini berhubung dakwaan yang dibuat oleh adiknya, Thirunama Karasu.

Lingam menghadiri dua sesi berasingan dengan pegawai BPR di ibupejabat badan itu - satu di sebelah pagi selama kira-kira 90 minit dan satu lagi pada kira-kira jam 2.50 petang. Beliau beredar pulang kira-kira jam 6.30 petang.

Ketika ditemui wartawan, Lingam berkata beliau datang untuk menyerah bukti-bukti kepada BPR berhubung masalah mental yang dihadapi oleh adik lelakinya itu.

Lingam bagaimanapun enggan mengulas mengenai isu klip video dan mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa beliau akan bekerjasama dengan suruhanjaya diraja, yang akan ditubuhkan oleh kerajaan.

Tegasnya, beliau tidak perlu menjawab soalan setiap orang dan beliau hadir di ibupejabat BPR hari ini adalah berhubung perkara yang membabitkan adiknya itu.

Lingam juga berkata, beliau tidak tahu orang yang merakamkan perbualan telefonnya, didakwa dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

'Seorang yang sakit'

Lingam tidak mengesah atau menafikan sama ada orang dalam klip video itu adalah dirinya, tetapi mengulangi bahawa beliau akan memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja.

Ditanya sama ada beliau menafikan sepenuhnya dakwaan yang dibuat oleh Thirunama, Lingam berkata, dakwaan adiknya itu adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

Lingam menegaskan bahawa Thirunama telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik. Beliau mendakwa, adiknya cuba memerasugutnya dengan membuat dakwaan tersebut.

Beliau mendakwa, adiknya mahu memerasugutnya dengan membuat tuduhan tersebut untuk mendapatkan wang dan kereta mewah. Thirunama telah membuat tiga laporan kepada BPR pada 1998, mendakwa pembabitan abangnya dalam rasuah dalam bidang kehakiman.

"Saya tidak melayan perbuatan perasugut. Sebab itulah dia buat laporan polis," katanya.

Lingam menyifatkan Thirunama sebagai "seorang yang sakit" yang mempunyai kecenderungan untuk bertindak ganas.

Beliau juga mendakwa bahawa Thirunama pernah mencederakan isterinya, seorang saudara lelakinya, saudara perempuan dan adik iparnya.

Laporan perubatan

Untuk menyokong dakwaannya itu, Lingam telah mengedarkan salinan laporan perubatan adiknya itu, yang disediakan oleh Dr Deva Dass dari Klinik Pakar Deva Dass di Petaling Jaya.

Menurut doktor tersebut, Thirunama mengalami "tekanan dengan kecenderungan kuat untuk membunuh diri, insomnia, sering menagis dan rasa bersalah". Laporan itu mengesyorkan dia dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan lanjut.

Ditanya mengapa beliau tidak pernah membuat laporan balas terhadap laporan polis yang dibuat oleh Thirunama, Lingam berkata, ianya terpulang kepada pihak polis untuk menentukan kebenaran laporan adiknya itu.

"Ia terpulang pada polis untuk menyiasat sama ada ianya palsu...Saya tidak mahu membuang masa dengan seorang pesakit psikitrik," katanya.

Buka semula fail

Awal hari ini, Pengarah Bahagian Siasatan BPR, Shukri Abdull juga mengesahkan bahawa Lingam dipanggil untk memberi kenyataan berhubung dakwaan yang dibuat oleh adiknya itu.

Menurutnya, kedatangan Lingam pada hari ini bukan berkaitan dengan siasatan BPR berhubung klip video tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah BPR, Abu Kassim Mohammad juga berkata, Lingam dipanggil semula untuk memberi kenyataan berhubung laporan yang dibuat oleh Thirunama pada 1998.

Katanya, walaupun siasatan perkara itu telah disiapkan dan telah diserahkan kepada Peguam Negara, tetapi pihaknya masih boleh lagi mengambil kenyataan daripada sesiapa pun apabila ada perkembangan terbaru.

"Terdapat beberapa perkara yang timbul sekarang, dan kami kena tanya beliau (Lingam) mengenainya," katanya.

Beliau juga berkata bahawa Lingam telah 'beberapa kali" disoalsiasat oleh BPR.

Abu Kassim juga enggan jawapan secara langsung apabila ditanya sama ada siasatan terhadap isu klip video itu telah selesai.

Menurut Lingam, BPR telah menyiasat secara terperinci semua dokumen di rumahnya dan firma guamannya serta menyoal kakitangan dan anggota keluarganya pada 1998.

"Malah, mereka turut memeriksa fail-fail guaman saya dan akaun-akaun bank. Mereka menemubual isteri saya, pembantu rumah dan pengawal peribadi saya serta individu-individu lain yang dinamakan dalam laporan tersebut.

"Setahu saya, BPR telah membersihkan saya (dari dakwaan tersebut)," katanya.

Lingam menjadi tumpuan selepas pendedahan klip video tersebut yang menunjukkan beliau perbualannya melalui telefon, didakwa pada tahun 2002, mengenai pelantikan hakim-hakim yang 'sehaluan'.

Orang yang bercakap dengan Lingan itu dipercayai Ahmad Fairuz, yang telah bersara sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Oktober lalu.

Sebelum ini, BPR dilaporkan telah merakamkan kenyataan Lingam dan kemudiannya telah menyelesaikan siasatannya berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam klip video tersebut.

Semalam, Thirunama telah dipanggil ke ibupejabat BPR di Putrajaya untuk memberi keterangan selama tujuh jam.

Kerajaan telah mengumumkan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video tersebut, tetapi belum memutuskan mengenai pemilihan anggota serta bidangkuasanya. Berita asal