Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun DAP Perak salahkan MIC, kutuk poster palsu sahut cabaran debat

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong, M Thulsi, mengecam penyebaran poster palsu yang mendakwa dia bersedia berdebat dengan Ketua Pemuda MIC Perak, Theeagesh Ganesan.

Adun DAP itu juga percaya bahawa parti komponen BN itu merupakan dalang di sebalik poster tersebut.

"Ya, itu palsu.

"MIC terlalu lapang, terlalu banyak masa terluang sampai sanggup buat poster palsu," kata Thulsi ketika dihubungi Malaysiakini.

M Thulsi

Poster yang memaparkan gambar Penolong Setiausaha Publisiti DAP Perak itu dikesan tersebar melalui aplikasi WhatsApp awal hari ini.

Poster itu tertera maklumat yang kononnya dia “menerima” cabaran Theeagesh untuk berdebat secara terbuka mengenai rekod perkhidmatan MIC dan DAP terhadap masyarakat India.

Sebelum ini, Theeagesh berkata dia bersedia berdepan dengan Thulsi untuk berdebat isu masyarakat India yang menjadi titik pertikaian kedua-dua parti.

Hujahnya, meskipun MIC hanya memegang jumlah kerusi Parlimen dan DUN yang terhad semasa berada dalam kerajaan BN, parti itu tetap berjaya membawa kemajuan yang bermakna kepada masyarakat.

Thulsi dan Theeagesh sebelum ini terlibat dengan perang mulut selepas wakil DAP itu mencadangkan agar MIC keluar daripada kerajaan Madani sekiranya merasakan diri seperti "tetamu yang tidak diundang" – satu sentimen yang turut disuarakan oleh Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS