Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun dedah OKU di sebalik insiden bendera terbalik
Diterbitkan:  Aug 4, 2025 3:47 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Insiden Jalur Gemilang dikibarkan terbalik di sebuah sekolah Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan berpunca daripada kesilapan seorang pekerja yang merupakan individu berkeperluan khas.

“Saya telah bertemu dengan ahli lembaga pengelola dan guru besar, dan dimaklumkan bahawa pekerja tersebut adalah individu berkeperluan khas kerana dia adalah orang kurang upaya intelektual,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lukut, Choo Ken Hwa.

Choo Ken Hwa

“Saya juga dimaklumkan bahawa bendera tersebut telah segera diturunkan sebaik sahaja pihak sekolah menyedari kesilapan itu,” katanya kepada The Star.

Sekolah berkenaan, SJKC Chung Hua, sebelum ini membuat permohonan maaf berhubung insiden pada 1 Ogos itu.

Dalam satu kenyataan bersama oleh pihak lembaga pengelola, pentadbiran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), mereka memaklumkan bahawa kesilapan itu berlaku ketika proses pemasangan bendera.

“Namun, akibat kecuaian, salah satu bendera telah dipasang secara terbalik. Insiden ini dirakam oleh orang awam dan dimuat naik ke media sosial.

“Pihak sekolah menerima maklumat itu sekitar jam 5 petang dan telah mengambil tindakan pembetulan dengan segera,” menurut kenyataan tersebut.

Walaupun permohonan maaf telah dibuat, kecaman terhadap insiden tersebut masih berterusan. Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, dengan lantang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Dr Akmal Saleh

Sementara itu, Bernama melaporkan polis telah mengenal pasti seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang terlibat berkaitan pemasangan Jalur Gemilang terbalik tersebut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata lelaki tersebut akan dipanggil untuk membantu siasatan dan bendera tersebut juga diturunkan semula pada hari yang sama.

“Siasatan masih diteruskan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan bagi arahan selanjutnya,” katanya.

Maslan berkata laporan berkenaan isu tersebut dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun semalam.

Polis juga menasihatkan orang awam untuk tidak viralkan isu ini yang boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam. 

Media semalam melaporkan SJKC Chung Hua Port Dickson memohon maaf secara terbuka susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah berkenaan, Jumaat lepas.

Dalam kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah, pihak berkenaan meluahkan rasa kesal terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan mengikut empat peruntukan undang-undang berikut:

  • Seksyen 504 Kanun Keseksaan – Melibatkan penghinaan dengan niat untuk mennggangu keamanan atau kesalahan lain; boleh dihukum penjara hingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

  • Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 – Mengenai perlakuan tidak wajar, atau boleh mengancam atau mengganggu ketenteraman awam.

  • Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 – Melarang penggunaan tidak sah lambang atau nama dilindungi; hukuman boleh mencecah denda RM20,000, penjara tiga tahun, atau kedua-duanya.

  • Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – Mengharamkan penyebaran kandungan yang jelik atau palsu dengan niat untuk mengganggu, menghina, atau menyakitkan hati; boleh dikenakan denda dan hukuman penjara.

Ini merupakan kes kelima melibatkan insiden bendera kebangsaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini — termasuk satu kes melibatkan Kementerian Pendidikan sendiri. Kementerian berkenaan berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap insiden terbaharu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS