Gerak Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) kesal dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang menolak sebarang siasatan lanjut terhadap dakwaan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Aidid tentang berlakunya rasuah dan salahguna kuasa dalam institusi kehakiman negara.

"Alasan beliau menolak sebarang tindakan lanjut kerana ianya berbentuk surat layang dan tidak mempunyai fakta khusus, tidak boleh diterima sama sekali kerana Datuk Syed Ahmad Aidid telah menyatakan kesediaan bertanggungjawab terhadap isi surat tersebut," kata Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedudukan Syed Ahmad yang pernah menjadi hakim kanan di negara ini, seharusnya menjadi alasan yang cukup kepada kerajaan untuk terus menyiasat sekiranya ia benar-benar serius dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Baru-baru ini, kata Ezam, akhbar utama negara turut menampilkan pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail, yang secara jelas membayangkan kewujudan salahguna kuasa dan rasuah dalam institusi kehakiman negara.

"Kenyataan mereka seharusnya tidak dipandang sepi oleh seorang menteri seperti Nazri yang menjadi sebahagian anggota kabinet sebuah pemerintahan yang meletakkan agenda memerangi rasuah sebagai agenda utama.

Keyakinan pelabur

"Institusi kehakiman sebagai institusi utama negara mesti bersih dari sebarang tanggapan rasuah dan salahguna kuasa kerana ianya membabitkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara dan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara," tegas Ezam.

Menurut Ezam laini, Ini pasti menghakiskan lagi keyakinan pelabur terhadap negara ini yang sememang sedia buruk kerana perbalahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawai akhir-akhir ini.

Justeru, tegasnya, pemerintah hari ini harus mengambil sikap tegas dan berani serta membuktikan ketelusan dengan menyiasat sebarang dakwaan rasuah, apatah lagi yang membabitkan institusi kehakiman negara.

"Ianya akan memberi kesan positif yg amat besar kepada negara sekiranya pemerintah membenarkan siasatan dilakukan oleh sebuah badan yang bebas terdiri dari tokoh-tokoh yang dihormati di dalam dan luar negara.

"Demi kelangsungan negara ini, Gerak mengambil sikap yang amat serius dalam soal ini dan akan melakukan tindakan susulan dalam bentuk yang pelbagai sekiranya pemerintahan hari ini terus mengambil sikap membisu dalam perkara sepenting ini," tambahnya.