Peguam Wee Choo Keong meminta peguam Datuk VK Lingam membuktikan dakwaannya bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah membersihkan namanya daripada sebarang salahlaku.

Sebaliknya, kata Wee, BPR telah mengesahkan yang ia mempunyai kes terhadap Lingam apabila menyerahkan hasil siasatannya kepada pejabat Peguam Negara, seperti yang didedahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamad semalam.

"Saya cabar Lingam menunjukkan bukti yang BPR telah membersihkan namanya. BPR tidak pernah membuat kenyataan seumpama itu," kata Wee dalam satu kenyataan hari ini.

Lingam, yang disoal selama kira-kira lapan jam di ibupejabat BPR semalam, memberitahu pemberita kemudiannya bahawa beliau percaya BPR telah membersihkan namanya daripada sebarang salahlaku.

Bagaimanapun, menurut Wee, pada 1998, Peguam Negara ketika itu ialah Tan Sri Mokhtar Abdullah yang namanya turut disebut dalam laporan BPR yang dibuat oleh adik Lingam - Thirunama Karasu.

"Oleh itu, walaupun jika ada keputusan dibuat oleh Mokhtar untuk membersihkan nama Lingam, tetapi ia boleh dipertikaikan dan bercanggah dengan peraturan keadilan semulajadi," katanya.

Menurut Wee lagi, seseorang itu tidak boleh menghakimi dirinya sendiri.

"Demi semangat ketelusan dan urustadbir yang baik, saya menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak atas perakuan yang dibuat oleh BPR, yang sudah sembilan tahun berlalu, berhubung dakwaan yang dibuat terhadap Lingam pada 1998."

Dalam laporannya, Thirunama telah menyenaraikan secara terperinci dakwaan kaitan Lingam dengan bekas ketua-ketua hakim, berapa hakim, Mokhtar dan seorang bekas ketua polis negara.

Laporan yang sama dilaporkannya pada Mac tahun lalu, dan didedahkan oleh Wee Ahad lalu. Berikutan itu Thirunama dan Lingam masing-masing dipanggil oleh BPR untuk memberi keterangan pada hari Selasa dan Rabu lalu.

Wee turut menemani Thirunama ketika dia disoal selama tujuh jam di ibupejabat BPR.