Kjaan diminta kaji semula dasar perlindungan Proton
Tindakan kerajaan memberi perlindungan kepada Proton selama 20 tahun telah menyebabkan kereta nasional menjadi tidak kompetetif di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Tindakan kerajaan memberi perlindungan kepada Proton selama 20 tahun telah menyebabkan kereta nasional menjadi tidak kompetetif di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), William Leong berkata, dasar perlindungan kepada kereta tempatan tidak dilakukan oleh negara lain seperti Korea Selatan dan Thailand.
Bagaimanapun, katanya kedua-dua negara Asia itu telah menjadi pemain utama dalam industri automatif, termasuk pengeluaran kereta di pasaran benua ini.
"Jualan kereta Proton di pasaran tempatan amat terhad dan tidak ekonomik untuk menyokong jenama tempatan. Pasaran kereta Proton pada 1983 iaitu tahun pertama kereta nasional diperkenalkan ialah 108,314 unit merupakan jumlah yang kecil.
"Pengeluaran kereta memerlukan pelaburan besar dan berterusan untuk mengeluarkan model-model baru," katanya dalam sidang media di ibupejabat PKR di ibunegara hari ini.
William berkata, kerajaan perlu mempunyai keazaman politik dan sanggup membuat keputusan yang sukar untuk menjadikan Proton pengeluar kereta yang berdayasaing.
Katanya, kereta keluaran Korea Selatan sudah mampu mencabar kereta-kereta Jepun, manakala Thailand telah menjadi hub baru industri kereta di Asia.
Contohi Korea, Thailand
"PKR meminta kerajaan mengkaji semula dasar perlindungan ini dan Proton mesti menjadi lebih kompetatif," katanya dalam sidang media di ibupejabat PKR di ibu negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan untuk menghentikan rundingan dengan pengeluar kereta asing berhubung pakatan strategik dengan Proton.
Semalam, Khazanah Nasional Bhd. mengumumkan tidak akan meneruskan sebarang rundingan dengan Volkswagen AG (Volkswagen) dari Jerman dan General Motors Corporation (GM) dari Amerika Syarikat berhubung pakatan strategik dengan Proton.
Menurut Khazanah, keputusan itu dibuat selepas kerajaan membenarkan Proton beroperasi secara bersendirian berikutan perkembangan positif dalam syarikat kereta nasional itu dari segi jualan domestik dan eksport.
Perdana Menteri berkata, keputusan yang dibuat oleh Khazanah untuk menamatkan perbincangan dengan Volkswagen dan GM dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
"Proton tidak bercadang mengadakan sebarang perbincangan untuk mewujudkan pakatan strategik dengan mana-mana pihak pada masa ini,'' jelasnya.
William berkata, kerajaan Malaysia wajar mencontohi Korea Selatan dan Thailand dalam memajukan industri kereta selepas mengalami krisis ekonomi pada tahun 1997.
Katanya, kedua-dua negara teresebut telah membawa masuk pelabur asing untuk memiliki saham dalam industri kereta di negara tersebut.
"Sebagai contoh, Thailand telah mengurangkan cukai import kereta penumpang dari 300 peratus kepada 100 peratus dan kerajaan negara itu juga menyediakan pakej insentif untuk menarik pembuat kereta luar negara dan mengukuhkan industri kereta," katanya.

