Polis mula mengadakan sekatan jalanraya sejak awal pagi ini di jalan-jalan menuju ke bandaraya Kuala Lumpur, mengakibatkan berlaku kesesakan lalulintas yang teruk.

Malaysiakini menerima maklumat yang menyatakan sekatan jalanraya itu menyebabkan kenderaan bergerak perlahan-lahan ketika waktu kemuncak pagi tadi.

Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Supt Che Hussain Che Omar, ketika dihubungi berkata, sekatan jalan telah diadakan di kesemua 12 kawasan di Selangor.

"Ianya untuk tujuan pencegahan jenayah. Kita mengadakan sekatan jalanraya di semua kawasan strategik utama pagi ini. Bila ia akan berakhir bergantung kepada keadaan. Kita akan mengkaji keadaannya," katanya kepada Malaysiakini.

Hussain bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada sekatan jalanraya itu untuk menghalang orang ramai memasuki ibunegara bagi menghadiri perhimpunan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) di pejabat Pesuruhjaya Tinggi British, Ahad ini.

Sekatan jalanraya yang sama diadakan untuk menghalang ribuan orang daripada menghadiri perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu. Namun begitu, kira-kira 40,000 orang menyertai perhimpunan di Kuala Lumpur itu.

Tunjuk kehadiran polis

Satu sumber polis mengesahkan bahawa sekatan jalanraya itu adalah untuk menghalang orang ramai daripada menghadiri perhimpunan anjuran Hindraf itu.

"Kita hanya mahu memperlihatkan kehadiran polis di kawasan-kawasan berkenaan," kata sumber tersebut yang tidak mahu disebut namanya.

Sekatan jalanraya itu diadakan di beberapa lebuhraya termasuk lebuhraya Silk (dari Kajang dan Semenyih ke Kuala Lumpur dan Putrajaya), dekat Sungai Ramal, Lebuhraya Sungai Besi dan Sungai Way di Lebuhraya Persekutuan.

Kawasan-kawasan lain termasuk di Ampang (di Taman Dato Ahmad Razali sebelum Ampang Point dan satu lagi dekat Pusat Perubatan Gleneagles Intan), Jalan Puchong (dekat pasaraya Bintang), Klang (Bukit Tinggi dan Bukit Raja) dan Bukit Mertajam di Penang.

Kehadiran ramai anggota polis juga dapat dilihat di Ampang dan di Kampung Cheras yang merupakan kawasan majoriti kaum India.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy menasihatkan mereka yang hendak menghadiri perhimpunan tersebut supaya keluar awal dari rumah masing-masing.

"Mungkin ada sekatan jalanraya dan kehadiri anggota unit Simpanan Persekutuan (FRU). Mereka mungkin menghalang anda pergi ke tempat perhimpunan itu," katanya.

"Beritahu mereka yang anda menggunakan hak anda di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 20 (kebebasan berhimpun) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948," katanya.

Sukarelawan ditangkap

Polis telah menolak permohonan Hindraf untuk mendapatkan permit bagi mengadakan perhimpunan tersebut. Ketua Polis Cheras, ACP Ahmad Amir Mohd Hashim menolak permohonan tersebut tiga hari lalu atas alasan teknikal dan keselamatan.

Penasihat Undang-undang Hindraf, P Uthayakumar memberitahu Malaysiakini bahawa rayuan yang dibuat kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin untuk mendapat permit tersebut, juga ditolak hari ini.

Katanya, seorang sukarelawan, S Tanendran ditangkap di Puchong kira-kira jam 4 petang kerana mengambil gambar sekatan jalanraya tersebut.

"Mereka membawanya ke balai polis Puchong sekarang," kata Uthayakumar.

Perhimpunan tersebut dijangka dihadiri 10,000 orang di mana Hindraf akan menyerahkan petisyen kepada Ratu Elizabeth ll untuk menyokong saman terhadap kerajaan British kerana membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.

Mereka menuntut AS$4 trillion (RM14 trillion) - atau AS$1 juta bagi setiap orang India yang tinggal di Malaysia.

Perhimpunan tersebut juga telah mencetuskan penyebaran khabar angin dan sistem pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan Ratu Elizabeth ll akan hadir di pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur Ahad ini, tetapi Hindraf telah menafikannya.

Ada khabar angin yang menyatakan penasihat undang-undang Hindraf telah dipukul manakala para peguam Hindraf telah ditangkap. Ini juga, menurut HIndraf, adalah tidak benar.