PKR dakwa kjaan mahu lengah tubuh sraya diraja

       

Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa kerajaan cuba melengah-lengahkan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam, didakwa dengan bekas Ketua hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mengenai pelantikan hakim-hakim.

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, kerajaan seolah-olah mahu menggunakan janji penubuhan suruhanjaya diraja itu untuk kepentingan mereka menjelang pilhanraya umum akan datang.

Katanya, beliau khuatir nasib penubuhan suruhanjaya kali ini sama dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

"Kerajaan mengumumkan penubuhan suruhanjaya tersebut pada akhir tahun 2003 iaitu beberapa bulan sebelum pilihanraya umum diadakan pada Mac 2004.

"Sebaliknya kerajaan menubuhkan selepas pilihanraya umum tetapi sehingga sekarang, kerajaan belum melaksanakan cadangan suruhanjaya tersebut," katanya dalam sidang media di ibupejabat parti di ibu negara hari ini.

Mengikut jadual kerajaan akan mengumumkan bidangkuasa dan anggota suruhanjaya diraja tersebut dalam mesyuarat kabinet semalam tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Sedia beri maklumat

Sehubungan itu, Tian Chua meminta kerajaan mempercepatkan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat klip video Lingam.

Katanya, PKR sedia bekerjasama dan memberikan maklumat yang wajar kepada suruhanjaya tersebut.

"Kita rasa pelik mengapa kabinet belum memutuskan penubuhannya dan dalam mesyuarat kabinet semalam ia tidak dibincangkan," katanya.

Tian Chua berkata, badan kehakiman merupakan elemen yang sangat penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Ketika ditanya siapa yang patut menganggotai penubuhan suruhanjaya diraja tersebut, Tian Chua berkata, yang penting ialah melantik hakim-hakim veteran yang tiada kepentingan, mempunyai rekod bersih dan boleh bekerja secara profesional.

Menurutnya, untuk itu Perdana Menteri seharusnya berbincang dengan Majlis Peguam bukan sahaja untuk menyenaraikan nama anggota suruhanjaya tetapi juga bidang kerja mereka.

Katanya, yang penting ialah untuk melihat keyakinan rakyat Malaysia terhadap sistem kehakiman negara.

Tunggu PM umum

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz berkata, Perdana Menteri, Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan hasil mesyuarat kabinet yang berkaitan dengan suruhanjaya diraja tersebut.

"Kita ada berbincang (mengenai suruhanjaya diraja), itu sahaja. Perdana Menteri akan mengumumkan hasilnya," kata Nazri kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti anggota suruhanjaya diraja berkenaan, serta segala terma rujukannya.

"Kita serahkan perkara itu kepada Perdana Menteri," katanya. Abdullah sedang menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Singapura.

Mohamed Nazri, bersama Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; serta Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad sebelum ini diberikan tugas mengkaji laporan oleh satu panel bebas, yang ditubuhkan bagi menyiasat keaslian klip video itu.

Jumaat lalu, Perdana Menteri berkata, suruhanjaya diraja akan ditubuhkan bagi menyiasat kontroversi membabitkan klip video itu.

Malaysiakini
terkini untuk anda