Kira-kira 100 orang berhimpun di luar bangunan Pasaraya Giant di Seksyen 13, Shah Alam, Ahad lalu untuk menyuarakan kemarahan mereka.

Mereka marah dengan satu insiden di mana pengawal keselamatan pasaraya tersebut didakwa membelasah seorang remaja India dan menghina agama Hindu.

Dengan membawa poster, yang antaranya berbunyi "Jangan hina agama kami", mereka menuntut pihak Giant memohon maaf dan memecat pengawal keselamatan terbabit.

Pada 16 November lalu, R Sashindran, 22, didakwa telah dipukul oleh dua pengawal keselamatan selepas mereka menuduhkanya cuba mencuri produk aksesori kereta.

Remaja tersebut, seorang juruteknik, membuat laporan pada 19 November di balai polis Seksyen 11, Shah Alam selepas dia dibebaskan. Tidak dapat dipastikan lama mana Sashindran ditahan.

Menurut laporan tersebut, salinanya diperolehi Malaysiakini, Sashindran mendakwa, pengawal keselamatan tersebut telah memadamkan tanda keagamaan di dahinya.

Selain itu, mereka juga didakwa menarik loket yang dipakainya yang mengandungi gambar dewa Hindu, Lord Krishna, dan membuangnya.

'Seksaan mental'

"Saya meletakkan (aksesori kereta) atas kaunter untuk membuat pembayaran tetapi ketika itu menerima panggilan telefon dari bapa saudara saya. Saya menjawab panggilan telefon itu jauh dari kaunter tersebut, dan apabila saya pergi semula ke situ, saya dihalang oleh dua orang pengawal keselamatan," kata Shasindran dalam laporannya itu.

"Saya kemudiannya dibawa ke sebuah bilik di mana mereka memukul saya dan memaksa saya mengaku mencuri (aksesori kereta), sedangkan saya tidak melakukannya," tambahnya.

Bagaimanapun, Shashindran mendakwa, dia membuat pengakuan tersebut akibat "seksaan mental" oleh kedua pengawal keselamatan tersebut.

"Ketika itulah mereka memasukkan barangan yang dikatakan saya cuba curi, ke dalam beg galas saya dan membawa saya ke balai polis," tambahnya.

Ketika dihubungi, Pengarah Pemasaran Giant, Ho Mun Hao menafikan kenyataan Sashindran mengenai insiden tersebut.

Beliau mendakwa rakaman CCTV "menunjukkan dengan jelas" Sashindran cuba mencuri barangan dari pasaraya tersebut.

"Kalau dia mahu membawanya ke mahkamah, biarkanlah. Kita mempunyai bukti bahawa dia mencuri barangan tersebut. Dia ditangkap dan (kerana itulah) dia cuba menjadikannya satu isu perkauman," katanya.

'Ancaman bunuh'

Menurut Sashindran, pengalamannya itu tidak berakhir dengan pengawal keselamatan itu sahaja. Dia mendakwa, seorang anggota polis di balai polis Seksyen 11 juga turut mengancamnya, ketika pengawal keselamatan itu membawanya ke balai tersebut.

Dalam laporan polis yang dibuatnya pada 19 November itu, Sashindran mendakwa, "Sarjan Azami Saari" telah mengancam untuk membunuhnya jika dia tidak membuat pengakuan mencuri barangan tersebut.

"Dia (Azami) berkata,dia boleh tembak saya dan buang mayat saya ke mana-mana sahaja dan keluarga dan rakan-rakan saya tidak akan tahu mengenainya. Ia adalah satu percubaan untuk memaksa saya membuat pengakuan dan saya terpaksa (mengaku). Saya bimbangkan nyawa saya," katanya.

Ketua balai polis daerah Shah Alam, Noorazam Jammaludin memberitahu Malaysiakini, beliau akan mengadakan siasatan dalaman untuk menentukan sama ada Azami telah bertindak secara tidak bertanggungjawab ketika menyoalsiasat Sashindran.

"Kita akan menghantar Sashindran ke Hospital Klang untuk pemeriksaan bagi memastikan sama ada dia benar-benar dipukul oleh dua pengawal keselamatan pasaraya Giant," katanya.

Sashindran telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencuri dan kini dibebaskan dengan ikatjamin sementara menunggu kesnya dibicarakan. Berita asal