Polis tangkap penasihat undang-undang Hindraf
Peguam P Uthayakumar ditangkap pagi ini mengikut Akta Hasutan dan telah dibawa ke ibupejabat polis Shah Alam.
Peguam P Uthayakumar ditangkap pagi ini mengikut Akta Hasutan dan telah dibawa ke ibupejabat polis Shah Alam.
Uthayakumar ditangkap di firma guamannya di Bangsar Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 pagi, kata seorang kakitangannya, K Vasan.
"Beliau ditangkap di bawah Akta Hasutan. Beliau ditahan oleh lima anggota polis dari ibupejabat polis Shah Alam," katanya.
Isnin lalu, polis menyerbu pejabat guaman Uthayakumar di Kuala Lumpur dan membawa bersama waran geledah untuk mencari buku yang kandungannya dianggap menghasut.
Lima anggota polis itu mengeledah pejabatnya di Jalan Bangsa, manakala 10 anggota polis lagi mengeledah pejabat adiknya, yang juga pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), Waythamoorthy di Seremban, Negri Sembilan.
Bagaimanapun, polis tidak menemui buku tersebut di pejabat Uthayakumar.
Uthayakumar dan Waythamoorthy merupakan aktivis utama dalam penganjuran perhimpunan Ahad ini, yang telah diharamkan oleh pihak polis.
Perhimpunan itu anjuran Hindraf di mana Uthayakumar merupakan penasihat undang-undangnya.
Hindraf merancang untuk menghimpunkan 10,000 orang India untuk menyerahkan memorandum yang dialamat kepada Ratu Elizabeth ll untuk menyokong saman terhadap kerajaan British kerana membawa rakyat India untuk menjadi buruh di Malaysia dan dieksploitasi selama 150 tahun.
Mereka menuntut AS$4 trillion (RM14 trillion), iaitu untuk AS2 juta bagi setiap rakyat India yang tinggal di Malaysia.
Perintah larangan
Awal pagi ini, polis telah menemui Uthayakumar di kediamannya di Bangsar untuk menyerahkan perintah melarangnya daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.
Perintah tersebut, yang diperolehi dari mahkamah majistret Kuala Lumpur, melarang Uthayakumar, Waythamoorthy, para peguam M Mahonaran, S Ganapathy, R kengadharan dan semua penyokong Hindraf daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut kerana ia boleh membahayakan orang ramai.
Ketika dihubungi, Manoharan berkata, perintah itu melarang beliau dan yang lain daripada pergi ke bangunan Pesuruhjaya Tinggi British selama tujuh hari mulai 21 November.
"Notis itu diserahkan kepada saya pada jam 7.50 pagi tadi. Perintah tersebut dikeluar oleh mahkamah majistret Kuala Lumpur mengikut Seksyen 98 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.
Seksyen 98 memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah tersebut dalam kes-kes yang boleh menimbulkan gangguan.
Menurut Manoharan, perintah larangan tersebut dipohon oleh balai polis Cheras dan diserahkan kepadanya oleh anggota ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.
Katanya, beliau akan membuat permohonan untuk mengetepikan perintah mahkamah tersebut.
Manoharan adalah antara empat peguam - yang lainya Uthayakumar, Waythamoorthy dan S Ganabathi Rao - yang ditangkap di Kampung Rimba Jaya di Padang Jawa, near Shah Alam ekoran perobohan sebuah kuil Hindu yang berusia 100 tahun. Berita asal

