Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes penculikan Pamela Ling: Menteri elak jawab jika SPRM juga disiasat
Diterbitkan:  Aug 11, 2025 12:56 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

PARLIMEN l Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengelak daripada menjawab soalan Parlimen sama ada SPRM turut disiasat berhubung kes penculikan Pamela Ling pada April lalu atau tidak.

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Saifuddin berkata siasatan polis terhadap kes Pamela masih berjalan, tanpa menyentuh sama ada SPRM turut disiasat atau tidak.

“PDRM telah menjalankan siasatan ke atas kehilangan Pamela Ling di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan (menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan dengan salah).

“Kertas siasatan masih dalam siasatan dan beberapa dokumen sedang dilengkapkan oleh pegawai penyiasat sebelum dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.

“Kementerian ingin menjelaskan bahawa PDRM sentiasa komited dalam menyiasat sebarang kes penculikan atau kehilangan orang yang dilaporkan mengikut prosedur operasi standard dan peruntukan undang-undang sedia ada.

“PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain termasuk SPRM dalam menjalankan siasatan apabila diperlukan,” katanya.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor)

Minggu lalu, Ramkarpal mengajukan soalan meminta menteri berkenaan memberikan perkembangan terkini kepada Dewan Rakyat berhubung kehilangan Ling, dan menyoal ama ada pihak berkuasa turut menyiasat agensi antirasuah itu atau tidak.

Ling diculik berhampiran ibu pejabat SPRM ketika dalam perjalanan untuk bertemu penyiasat bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram pada 9 April lalu.

Pada Mei, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata pihak penyiasat memperoleh rakaman CCTV dari lokasi kejadian, yang menunjukkan sekurang-kurangnya lapan individu terlibat, termasuk dua yang memakai vest polis.

Peguam Ling, N Sivananthan, turut menggesa polis mendedahkan rakaman CCTV penculikan itu dan gambar suspek sebagai rayuan kepada orang ramai untuk membantu mengenal pasti penculik tersebut.

Polis juga menahan suami Ling, seorang ahli perniagaan Malaysia Thomas Hah Tiing Siu, bagi membantu siasatan. Namun dia dibebaskan sehari kemudian selepas mahkamah Putrajaya menolak permohonan reman polis.

Polis sejak itu berkata kes penculikan Ling tiada kaitan dengan politik .

Dalam jawapan berasingan, Saifuddin mempertahankan tindakan polis terhadap dua editor Sin Chew Daily ketika menyiasat kesilapan mencetak ilustrasi yang memaparkan Jalur Gemilang.

Menurutnya, polis bertindak mengikut undang-undang ketika menahan dan menyiasat wartawan berkenaan.

“Tindakan siasatan dan penguatkuasaan yang diambil oleh PDRM terhadap dua editor akhbar Sin Chew Daily adalah berlandaskan kepada peruntukan undang-undang sedia ada di bawah

Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar 1963), Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM sentiasa melaksanakan tugas secara profesional, bebas dan tanpa sebarang campur tangan politik,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen yang dikemukakan oleh Lim Lip Eng (PH-Kepong).

Bagaimanapun, Saifuddin tidak menjawab soalan Lim mengapa polis tidak mengambil tindakan serupa ketika pihak berkuasa menyiasat kesilapan bendera yang sama melibatkan Kementerian Pendidikan dan satu program PAS.

Ahli Parlimen DAP itu turut mempersoalkan mengapa terdapat dua darjat dan di manakah letaknya prinsip keadilan dalam cara polis menangani kesilapan bendera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS