Pengerusi Hindraf turut ditangkap
Polis telah menahan dua orang lagi termasuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy.
Polis telah menahan dua orang lagi termasuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy.
Seorang lagi adalah peguam V Ganapathy Rao.
Waythamoorthy memaklumkan kepada Malaysiakini melalui SMS, mengenai penangkapannya itu.
Menurut Waythamoorthy , yang juga seorang peguam, beliau ditahan di plaza tol Shah Alam pada kira-kira jam 3 petang dan telah dibawa ke ibupejabat polis Selangor di Shah Alam.
Ganapathy pula ditangkap pada lebih kurang masa yang sama di ibupejabat polis berkenaan ketika beliau pergi untuk menemui penasihat undang-undang Hindraf, peguam P Uthayakumar yang sedang ditahan di situ. Uthayakumar adalah abang kepada Waythamoorthy.
Uthayakumar ditangkap pagi tadi di pejabat guamannya di Kuala Lumpur di bawah Akta Hasutan.
Ketiga-tiga mereka dijangka dihadapkan di Mahkamah Sesyen Klang di mana mereka akan didakwa atas tuduhan hasutan.
Penangkapan mereka dibuat dua hari sebelum perhimpunan anjuran Hindraf di luar pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur Ahad ini.

