Pengadu terkejut BPR tutup kes Khalil
Dua individu yang membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan kuasa oleh bekas Menteri Besar Pahang, Tun Mohd Khalil Yaakob dalam isu balak terkejut apabila Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengisytiharkan kes tersebut ditutup.
Dua individu yang membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan kuasa oleh bekas Menteri Besar Pahang, Tun Mohd Khalil Yaakob dalam isu balak terkejut apabila Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengisytiharkan kes tersebut ditutup.
Dua individu terbabit ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Razali Alias dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berserah, Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman yang masing-masing membuat laporan terhadap Khalil.
Razali membuat dua laporan - BPR Kuantan dan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 4 April 2001. Manakala Fauzi pula membuat laporan di IPD Kuantan pada 28 Mac 2001.
Satu lagi laporan polis terhadap Khalil dibuat oleh Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Pahang pada bulan September lalu.
Dalam laporan polis itu, Fauzi mendakwa Khalil sebagai Menteri Besar Pahang ketika itu, meluluskan konsesi hutan kekal dengan tidak menghiraukan kuota yang ditetapkan oleh Dasar Hutan Negara.
Fauzi juga mendakwa Khalil, yang juga setiausaha agung Umno ketika itu, telah mengagihkan kawasan balak tanpa mengikut kuota yang ditetapkan oleh Dasar Perhutanan Negara ketika menjadi menteri besar Pahang antara 1986 hingga 1999.
Fauzi, dalam laporan itu juga, menyebut bahawa tindakan Khalil itu "menjejaskan sumber kewangan dan aliran tunai" kerajaan Pahang akibat hasil kawasan pembalakan yang bernilai.
'Tidak dipanggil'
Ketika dihubungi hari ini, Razali bertanya: "Adakah BPR benar-benar menjalankan siasatan ke atas kes tersebut? Betulkah fail siasatan dibuka atau sekadar cakap-cakap kosong BPR?"
Razali yang kini Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu berkata, beliau tidak percaya bahawa polis atau BPR telah menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.
Katanya, jika benar kes tersebut disiasat mengapa beliau sebagai pengadu tidak pernah dipanggil memberi penerangan.
Sebaliknya, Razali mendakwa ada pihak-pihak tertentu yang memainkan peranan untuk menutup kes tersebut memandangkan Khalil merupakan orang besar.
"Tidak syak lagi ada tangan-tangan ghaib yang campur tangan dalam kes tersebut. Mereka tentu orang yang mempunyai kuasa ketika itu," katanya ketika diminta mengulas keputusan BPR menutup kes tersebut.
Khamis lalu, Pengarah Siasatan BPR, Datuk Mohd Shukri Abdull, memberitahu Malaysiakini bahawa kes tersebut ditutup kerana tiada asas untuk mengambil tindakan terhadap Khalil.
Khalil kini merupakan Yang Dipertua Negeri Melaka.
Gerak akan teruskan
"Mengapa baru sekarang BPR mengumumkan kes tersebut ditutup setelah kira-kira enam tahun menunggu? Panggil saya, saya akan beri beri bukti mengenai kes Khalil tersebut," katanya lagi.
Razali berkata, apa yang BPR perlu buat sekarang ialah menjalankan siasatan terhadap tangan-tangan ghaib yang cuba campurtangan sehingga kes tersebut ditutup.
Sementara itu, ketika dihubungi di Kuantan hari ini, Fauzi dengan nada sinis berkata: "Malaysia boleh. Semua boleh, boleh buat apa sahaja," katanya dengan nada sinis.
Fauzi berkata, beliau sudah tidak berminat lagi dengan kes tersebut dan tidak mahu mengambil tahu lagi mengenainya.
Sebelum ini, Pengerusi Gerak Ezam Mohd Noor berkata, beliau merasakan ada unsur campurtangan politik dalam kes tersebut.
Gerak, bagaimanapun, katanya akan meneruskan siasatan terhadap kes tersebut, termasuk mengadakan perbincangan dengan para peguam untuk tindakan lanjut.
Ezam juga menyoal mengapa keputusan menutup kes terhadap Khalil itu tidak pernah diumumkan secara rasmi sebelum in.
"Apakah ia bermakna laporan yang dibuat Fauzi itu tidak benar dan (oleh itu) adakah BPR akan mengambil tindakan terhadap Fauzi," soalnya lagi.

