Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyerang cucuk anak Rafizi dengan jarum suntikan
Diterbitkan:  Aug 13, 2025 6:39 PM
Dikemaskini: Aug 14, 2025 4:30 AM

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan anaknya dicucuk dengan jarum suntikan dalam serangan di sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, tengah hari ini.

“Sekitar jam 1.45 petang ini, semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan,” katanya.

Dia juga berkata semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal mengekori kereta isterinya sebelum itu.

Anggota parlimen Pandan justeru percaya mereka telah merancang serangan itu lebih awal.

Dalam kenyataan petang ini, Rafizi berkata anaknya telah dibawa segera ke Hospital UPM di Serdang tidak jauh dari situ untuk rawatan.

“Pihak polis juga telah berada di tempat kejadian sejurus kejadian. Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis,” katanya.

Rafizi berkata, sepanjang dia menjadi ahli politik, inilah kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti itu.

“Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.

“Terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej dan bertanya khabar.

“Insya-Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS