Tiga pemimpin Hindraf dibebaskan dengan ikatjamin
Tiga pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang hendak dihadapkan ke di Mahkamah Sesyen KLang hari ini, dibebaskan atas alasan teknikal
Tiga pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang hendak dihadapkan ke di Mahkamah Sesyen KLang hari ini, dibebaskan atas alasan teknikal
Mereka bertiga, yang tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini, dibenarkan ikatjamin RM800 seorang oleh hakim Zumaidah Mohd Idris. *[Pembetulan di bawah]
Bagaimanapun, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorty enggan membayar ikatjamin itu sebagai tanda protes terhadap polis didakwanya telah diperalatkan oleh kerajaan.
Waythamoorty, seorang peguam, akan ditahanhingga Isnin ini dan beliau berikrar untuk melancarkan mogok lapar. Waythamoorty dilaporkan dihantar ke penjara Sungai Buloh.
Bagaimanapun, abangnya yang juga penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar serta seorang lagi peguam, Ganapathy Rao, membayar ikatjamin tersebut.
Bagaimanapun, mereka diminta hadir di mahkamah Isnin ini untuk didakwa secara rasmi.
Kira-kira 2,000 penyokong Hindraf menyerbu ke arah mereka ketika berjalan keluar dari bangunan mahkamah kira-kira jam 6.45 petang.
Mereka kemudiannya berarak membawa Uthayakumur melalui jalan-jalan di Klang, mengakibatkan perjalanan lalulintas di kawasan sekitarnya terhenti.
Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) turut dihantar ke kawasan terbabit.
Kumpulan penyokong tersebut berarak ke sebuah kuil berhampiran di mana Uthayakumar berucap menggesa mereka menghadiri perhimpunan Ahad ini dan mereka kemudiannya beredar dari situ.
Pinda tuduhan
Sebelum itu di mahkamah, Zumaidah memerintahkan timbalan pendakwaraya supaya meminda tuduhan dan menangguhkannya hingga Isnin ini.
Uthayakumur, Waythamoorty dan Ganapathy didakwa mengikut Seksyen 4 (1B) Akta Hasutan berdasarkan kepada siasatan polis terhadap laporan yang dibuat ke atas mereka berhubung ucapan mereka di satu forum baru-baru ini di Batang Berjuntai, Selangor.
DPP Ishak Yusuff berhujah di mahkamah bahawa keseluruhan ucapan mereka berunsur hasutan.
Bagaimanapun, peguam mereka, M Manoharan memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan kertas tuduhan, hanya satu perkataan sahaja dalam ucapan mereka yang berunsur hasutan.
Hakim kemudian memberitahu bahawa perkataan yang berunsur hasutan tersebut tidak ditonjolkan dalam kertas tuduhan.
Selain Manoharan, mereka bertiga juga turut diwakili oleh peguam A Sivanesan an N Surendran. Manakala Amer Hamzah menjadi peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam.
Waythamoorthy, Uthayakumar dan Ganapathy ditahan hari ini di tiga lokasi berasingan menjelang perhimpunan anjuran Hindraf di luar bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur Ahad ini.
Dalam SMSnya ke Malaysiakini petang tadi, Waythamoorthy menyifatkan insiden tersebut sebagai satu konspirasi.
"Say akan (ke penjara) sebagai tanda protes. Seluruh saga ini merupakan satu konspirasi. Ia masih belum terlewat, mereka (pihak berkuasa) masih boleh memberi permit untuk (perhimpunan) Ahad ini," katanya. Berita asal
Pembetulan : Uthayakumar, Waythamoorthy dan Ganapathy sebenarnya telah didakwa di mahkamah, tetapi mereka diperintah hadir semula di mahkamah Isnin ini di mana tuduhan terhadap mereka akan di pinda. Kami memohon maaf atas kesilapan tersebut).

