Ketua Penerangan MIC Senator Datuk M Saravanan hari ini mengecam Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang didakwanya telah diperalatkan oleh parti-parti pembangkang untuk mendapatkan sokongan.

Katanya, kehadiran Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang sewaktu perhimpunan para penyokong Hindraf di Shah Alam semalam membuktikan dakwaannya itu.

Saravanan berkata, kehadiran Lim jelas menunjukkan bahawa perhimpunan Hindraf esok dirancang oleh orang DAP dan juga PKR.

"Hindraf bukan memperjuang kepentingan masyarakat India, tetapi sebenarnya cuba mendapatkan sokongan undi untuk pembangkang.

"Pemimpin Hindraf cuba untuk membangkitkan emosi rakyat supaya bersimpati dengan pihak pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang," kata Saravanan dalam satu kenyataan.

Hindraf merancang untuk menghimpunkan 10,000 kaum India di luar bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur esok untuk menyerahkan petisyen kepada Ratu Elizabeth ll untuk mendapatkan sokongan baginda terhadap saman yang difailkan oleh Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy.

'Meracun fikiran'

Dalam samannya itu, Waythamoorthy menamakan kerajaan British kerana membawa rakyat India ke Malaysia untuk menjadi buruh dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.

Beliau menuntut AS$4 trillion (RM14 trillion) - atau AS$1 juta bagi setiap orang India yang tinggal di Malaysia.

Savaranan menggesa masyarakat India supaya jangan menghadiri perhimpunan esok.

Beliau yakin masyarakat India akan terus menghormati undang-undang dan menaruh kepercayaan kepada MIC dan kerajaan Barisan Nasional.

"Hindraf hanya meracun minda remaja dan memperalatkan mereka untuk agenda politik mereka sendiri. Majoriti senyap tidak akan senyap lagi sekiranya Hindraf terus membangkitkan isu perkauman," katanya.

DAP sokong penuh

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berikrar partinya akan memberi sokongan penuh kepada perhimpunan Hindraf "kerana kerajaan tidak memperdulikan, meminggirkan dan mendiskriminasikan masyarakat India".

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas tiga pemimpin Hindraf ditahan di bawah Akta Hasutan semalam.

Lim berkata, ia merupakan satu usaha untuk menggertak ketiga-tiga mereka kerana mereka didakwa 'melakukannya', seperti yang dinyatakan dalam kertas tuduhan, pada 16 November tahun ini.

"Mengapa mereka didakwa selepas mereka enggan membatalkan perhimpunan tersebut, dan bukannya lebih awal?" soalnya.

Lim mendakwa, keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mendakwa mereka bertujuan untuk menghalang mereka daripada menyerahkan petisyen tersebut.

"Mereka yang dapat hadir, perlu berbuat demikian sebagai tanda protes terhadap pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara dan kerajaan BN," tambahnya. Berita asal