Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Gombak Setia mengaku tidak salah timbulkan kegentaran awam
Diterbitkan:  Aug 20, 2025 11:28 AM
Dikemaskini: 4:49 AM

Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam di laman sosial.

Ketua Pemuda Bersatu (Armad) itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.

"Saya akan lawan dan minta dibicarakan," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hilman, 36, didakwa membuat kenyataan di akaun Tiktok, 'alfah.channel.tv' yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2.09 petang, 30 Julai lalu.

Pautan TikTok tersebut telah dilihat seorang pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, di Menara KPJ di Kuala Lumpur.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad menawarkan wang jaminan RM10,000 kepada pemimpin Bersatu itu, manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Hilman memohon agar wang jaminan ditetapkan pada RM3,000 dengan seorang penjamin.

“Mustahil untuk anak guam saya melarikan diri. Beliau dikenali di seluruh Selangor dan Malaysia serta telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Saya mencadangkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Hilman diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Okt ini untuk sebutan kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS