Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Fitnah jahat' - Peguam ibu Zara kecam sebar gambar dengan KM, menteri Sabah
Diterbitkan:  Aug 21, 2025 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, membidas pihak yang menyebarkan gambarnya bersama Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali, dan peguam Ram Singh - yang membela salah seorang pelajar yang didakwa berhubung kes itu.

Shahlan menjelaskan bahawa gambar yang diambil pada Jun 2025 itu tidak mempunyai kaitan dengan kes pelajar berusia 13 tahun yang kematiannya telah menarik perhatian rakyat Malaysia.

Spekulasi berleluasa di media sosial, dengan dakwaan bahawa tokoh berprofil tinggi mempunyai kaitan dengan kes itu.

Terdahulu, seorang pembantu Armizan membuat laporan polis berhubung video TikTok yang didakwa berunsur fitnah yang cuba mengaitkan menteri itu dengan kematian Zara.

"Cubaan pihak tertentu mengaitkannya adalah fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat.

"Saya tegaskan komitmen saya hanya kepada keadilan untuk Zara," kata Shahlan dalam catatan Facebook, seperti yang dilaporkan oleh media.

Peguam itu menjelaskan bahawa langkah undang-undang penting yang diperlukan bagi pihak ibu Zara telah pun dijalankan dan sedang berjalan.

"Untuk rekod, perkara-perkara utama telah pun dilaksanakan selepas pelantikan saya selaku peguam Zara.

"(Termasuklah) penggalian semula kubur telah berjaya, pelaksanaan post-mortem telah berjaya, berada di bilik bedah siasat selama lebih kurang lapan jam atas kehendak anak guam, memohon agar pelaku dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu maksimum 10 tahun dan permohonan inkues dibenarkan dan serang berjalan,” katanya.

Shahlan menegaskan sebagai peguam, dia bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, dengan matlamat tunggal untuk menegakkan keadilan dan integriti undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS