Perhimpunan Hindraf: Pembuka mata kepada k'jaan
Analisis berita "Mari tunggu dan lihat 'kuasa rakyat'," itulah reaksi Pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy sejurus selepas beliau dan dua lagi pemimpin utama Hindraf ditahan, 48 jam sebelum berlangsungnya perhimpunan anjuran Hindraf di ibunegara.
Dan pada hari Ahad, kira-kira 30,000 rakyat dari seluruh negara - hampir kesemuanya dari kalangan masyarakat India - turun berduyun-duyun untuk menyertai perhimpunan tersebut.
Waythamoorthy (kanan) dan abangnya Uthayakumar (kiri) merupakan penggerak utama Hindraf. Selain menjadi orang pertama yang hadir mempertahankan hak masyarakat India, mereka juga mengadakan majlis penerangan di seluruh negara untuk mengingatkan kaum India mengenai hak mereka.
Dalam proses tersebut, Hindraf telah menyedarkan mereka, dan ini terbukti daripada jumlah mereka yang menyertai perhimpunan semalam dan ribuan lagi yang dihalang oleh pihak polis daripada memasuki Kuala Lumpur.
Dan hero sebenarnya, adalah rakyat yang menyertai perhimpunan semalam. Mereka marah dengan layanan terhadap masyarakat India di Malaysia. Mereka kecewa kerana dilayan seperti rakyat kelas ketiga di negara mereka sendiri.
Analisis berita "Mari tunggu dan lihat 'kuasa rakyat'," itulah reaksi Pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy sejurus selepas beliau dan dua lagi pemimpin utama Hindraf ditahan, 48 jam sebelum berlangsungnya perhimpunan anjuran Hindraf di ibunegara.
Dan pada hari Ahad, kira-kira 30,000 rakyat dari seluruh negara - hampir kesemuanya dari kalangan masyarakat India - turun berduyun-duyun untuk menyertai perhimpunan tersebut.
Waythamoorthy (kanan) dan abangnya Uthayakumar (kiri) merupakan penggerak utama Hindraf. Selain menjadi orang pertama yang hadir mempertahankan hak masyarakat India, mereka juga mengadakan majlis penerangan di seluruh negara untuk mengingatkan kaum India mengenai hak mereka.
Dalam proses tersebut, Hindraf telah menyedarkan mereka, dan ini terbukti daripada jumlah mereka yang menyertai perhimpunan semalam dan ribuan lagi yang dihalang oleh pihak polis daripada memasuki Kuala Lumpur.
Dan hero sebenarnya, adalah rakyat yang menyertai perhimpunan semalam. Mereka marah dengan layanan terhadap masyarakat India di Malaysia. Mereka kecewa kerana dilayan seperti rakyat kelas ketiga di negara mereka sendiri.
Jadi mereka tidak teragak-agak lagi untuk menyahut seruan Hindraf untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menyuarakan kemarahan mereka itu, walaupun pihak polis telah memberi amaran melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan tersebut. Jika berbuat demikian mereka melanggar perintah mahkamah yang memboleh mereka dihukum kerana menghina mahkamah.
Ramai memberitahu Malaysiakini, bahawa insiden perobohan kuil Hindu di Klang merupakan pemangkin kepada kehadiran mereka untuk menyertai perhimpunan di ibu negara itu.
'Dengarlah suara kami'
Ramai yang datang dari luar Kuala Lumpur. Mereka telah dinafikan forum dan peluang untuk meluahkan apa yang terbuku di hati mereka selama ini. Ramai juga yang merupakan penyokong MIC, tetapi kini begitu menyesal kerana parti kaum India yang menjadi komponen Barisan Nasional itu tidak dapat berbuat apa-apa berhubung perobohan kuil tersebut.
"Kami datang untuk memprotes layanan kerajaan terhadap kami. Mereka boleh pukul kami hari ini. Mereka boleh sumbat kami dalam penjara. Kami tidak peduli. Kami mahu memberitahu kerajaan bahawa kami sudah menyampah," kata S Aiyakannu, 52, dari Jalan Klang Lama.
Anak lelakinya, Palani membawa para penyokong yang menaiki tiga buah bas dari utara.
"Bagi kami, ia merupakan situasi hidup atau mati. Jika suara kami didengar hari ini, bagus. Jika tidak masyarakat yang kecewa ini akan menunjukkan bahawa kami tidak boleh dipemainkan sepanjang masa," tambahnya.
Yang lainnya turut berkongsi sentimennya. Ramai yang tidak pernah berjumpa dengan Waythamoorthy atau dengan abangnya Uthayakumar tetapi tahu mengenai usaha mereka untuk menggerakkan masyarakat India supaya menghadiri perhimpunan semalam.
"Cukuplah kita menerima layanan buruk ini. Mereka (kerajaan) tidak boleh menekan kami lagi. Sudah sampai hadnya. Saya bukan berada di sini untuk menyokong saman Hindraf terhadap kerajaan British, tetapi saya mahu meluahkan kemarahan saya," kata K Suresh dari Sungai Petani.
Majoriti menyertai perhimpunan tersebut dengan baik dan aman di tengah-tengah kehadiran ramai anggota polis dan berdepan dengan tembakan gas pemedih mata dan pacutan air kimia.
Setiapkali ditembak air kimia dan gas pemedih mata, mereka berundur seketika tetapi maju semula, dengan jumlahnya yang semakin ramai.
Ramai yang membawa poster Mahatma Gandhi bagi menandakan mereka adalah pencinta kedamaian, dan tidak ada satupun poster yang biasanya dikaitkan dengan perhimpunan politik.
Mereka berhimpun di kira-kira sembilan lokasi di sekitar Ampang dan KLCC. Setiapkali mereka dihalang oleh polis, mereka berpecah dan berkumpul semula di tempat lain (lihat peta di bawah).
Ada ketikanya, mereka berpecah dan berkumpul semula di belakang benteng polis, dan ini memaksa anggota dan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berpusing atau mengubah kedudukan mereka.
Jadi sasaran
Para saksi berkata, laporan yang menyatakan orang ramai bertindak hingga mencederakan anggota polis telah diperbesar-besarkan. Sebaliknya, di kebanyakan tempat, orang ramai yang menjadi sasaran gas pemedih mata dan pancutan air kimia.
Tidak seorangpun yang mempertikaikan bahawa di peringkat awalnya pihak polis bersikap berhati-hati, tetapi keadaan menjadi sebaliknya sebaik sahaja polis mula menangkap mereka yang hadir kerana melanggar perintah mahkamah yang mengharamkan perhimpunan tersebut. Sesetengahnya diheret di sepanjang jalan dan ditolak ke dalam trak-trak polis yang menunggu di situ.
Walaupun ditangkap, ramainya yang tidak melawan atau mengadu. Seorang lelaki tua kedengaran berkata dia bangga kerana ditangkap demi memperjuangkan nasib masyarakatnya.
Sentimen yang sama juga kedengaran apabila orang ramai terkena pacutan air dan gas pemedih mata.
"Kita adalah orang yang terpaksa bekerja kuat untuk hidup. Kita tidak bekerja di pejabat berhawa dingin seperti orang KL. Kita bekerja di bawah panas matahari dan hujan. Kita tahan lasak. Biarlah mereka memukul kami dengan apa saja. Kita sedia menghadapinya," kata Raman, seorang pemandu bas dari Batang Berjuntai, Selangor.
Saat lucu
Namun, di tengah-tengah suasana tersebut, ada juga saat lucu yang menghibur hati orang ramai yang menghadiri perhimpunan tersebut.
Pada satu ketika, polis menembak gas pemedih mata ke arah kira-kira 1,000 orang di kawasan berhampiran, tetapi tersasar terkena anggota mereka sendiri.
Orang ramai bertepuk tangan apabila ternampak anggota polis bertempiran lari, manakala di tempat lain, seorang orang putih berjogging di tengah-tengah laluan yang memisahkan antara polis dengan orang ramai yang berkumpul di situ, tanpa menyedari apa yang sedang berlaku di situ.
Apabila menyedari tembakan gas pemedih mata dan pacutan air kimia itu tidak berkesan untuk meleraikan perhimpunan itu, pihak polis memberitahu orang ramai bahawa pemimpin Hindraf telahpun menyerahkan memorandum seperti yang dirancangkan, kepada Suruhanjaya Tinggi British.
Polis juga berkata, pemimpin Hindraf meminta mereka supaya bersurai.
Bagaimanapun, orang ramai tidak mempercayai cakap-cakap pihak polis tersebut. Sebaliknya, mereka meminta polis membenarkan mereka berarak ke suruhanjaya tersebut dan kemudiannya bersurai.
"Lupakan soal memorandum. Benarkanlah kami berarak secara aman hingga ke suruhanjaya tinggi," kata seorang pemuda yang kemudiannya ditahan kerana melanggar perintah mahkamah.
Selepas enam jam berlalu, pihak polis sudah letih. Akhirnya, mereka hanya mengawal kawasan sekitar Suruhanjaya Tinggi British sahaja.
'Pembuka mata'
Yang pasti, ini bukanlah satu perhimpunan bantahan politik. Ini adalah protes terhadap peminggiran masyarakat India. Ia adalah kes anggota masyarakat turun ke jalan kerana mereka tidak ada tempat lain lagi untuk meluahkan masalah mereka.
Ia juga seharusnya menjadi 'pembuka mata', bukan sahaja kepada masyarakat terbabit tetapi juga kepada MIC dan pihak kerajaan.
Pemimpin kerajaan dan pihak polis boleh berkata bahawa perhimpunan itu adalah haram, tetapi kuasa rakyat membuktikan Ahad lalu bahawa sentimen rakyat akar umbi tidak boleh diabaikan.
Perhimpunan Hindraf adalah perhimpunan rakyat yang kedua diadakan bulan ini - selepas perhimpunan Bersih pada 10 November lalu - dan yang ketiga jika diambil kira 'Perarakan untuk Keadilan' di Putrajaya bulan lalu.
Rakyat yang menyertai ketiga-tiga perhimpunan tersebut tidak sedikitpun merasa takut untuk menyatakan pendirian mereka - dan di setiap perhimpunan tersebut, pihak polis tidak dapat mencari taktik yang berkesan untuk menyekat mereka.
Jika momentum ini berterusan, kuasa rakyat, sepertimana yang dibayangkan oleh Waythamoorthy, ia mungkin membawa kepada perubahan yang diharap-harapkan.

