Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gaza: OIC tidak boleh lagi sekadar buat kenyataan - Maldives

Menteri Luar Maldives Abdulla Khaleel memberitahu Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah semalam bahawa sudah tiba masanya OIC bergerak melangkaui sekadar mengeluarkan kenyataan bagi menghentikan perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin.

“Saya menyampaikan mesej yang jelas -- sudah tiba masanya kita melangkaui kenyataan dan mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan untuk menangani jenayah perang berterusan Israel di Palestin,” kata Abdulla dalam hantaran di platform media sosial X selepas mesyuarat menteri-menteri luar OIC di Jeddah semalam.

Abdulla turut mengecam penggunaan kebuluran secara sengaja sebagai senjata perang terhadap orang awam Palestin oleh tentera pendudukan Israel serta menekankan keperluan mendesak menyalurkan bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Semenanjung Gaza.

Menteri itu juga mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawatnya, termasuk Abdullah Ali Al Yahya dari Kuwait dan Mohammad Touhid Hossain dari Bangladesh.

“Kami bersatu dalam komitmen untuk menamatkan pencerobohan Israel di Gaza serta berusaha ke arah merealisasikan sepenuhnya hak rakyat Palestin,” katanya.

Mesyuarat terbaru pertubuhan yang dianggotai 57 negara itu sedang membincangkan langkah menangani operasi haram tentera rejim Israel di rantau berkenaan, ketika Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu meneruskan kempen genosid di wilayah Palestin yang diduduki dan mengancam untuk meluaskan serangan ke negara lain bagi mencapai mitos Zionis “Israel Raya”.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS