Peguam Datuk VK Lingam tahu dua tahun lebih awal mengenai siasatan yang akan dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadapnya, dakwa adiknya V Thirunama Karasu.

Dalam temubual selama dua jam dengan Malaysiakini minggu lalu, Thirunama turut menafikan dakwaan abangnya itu bahawa beliau menghadapi masalah mental. Thirunama juga memberitahu secara terperinci isu-isu yang menyebabkan mereka berdua menjadi tumpuan media.

Lingam didakwa sebagai orang yang bercakap dalam klip vidoe yang dirakam pada tahun 2002, yang mendedahkan perbualan telefon yang didakwa mengenai pelantikan hakim-hakim. Beliau bagaimanapun enggan memberi sebarang komen sementara menunggu siasatan dijalankan oleh suruhanjaya diraja.

Thirunama, 50, terbabit dalam kontroversi tersebut, selepas peguam yang juga ahli politik, Wee Choo Keong mendedahkan laporan polis Mac lalu mengenai dakwaan salahlaku rasuah oleh Lingam pada 1988.

Apabila Thirunama, yang membuat laporan tersebut, dipanggil oleh BPR untuk disoalsiasat, Lingam mengeluarkan satu kenyataan yang mendakwa adiknya pernah menjalani rawatan psikitrik serta mengedarkan laporan perubatan sebagai buktinya.

Dalam temubual tersebut, Thirunama mendakwa, anggota keluarganya telah memaksanya "berlakon" di depan doktor-doktor psikitrik untuk membatalkan kenyataannya yang telah dibuatnya kepada BPR.

Thirunama juga mendedahkan bahawa beliau pernah bekerja dengan Lingam dan oleh itu, beliau mengetahui apa yang berlaku, termasuk pemindahan wang kerana BPR akan menjalankan siasatan.

"Saya tidak tahu bagaimana dia mendapati tahu bahawa BPR akan menjalankan siasatan," katanya.

Berikut adalah bahagian pertama daripada tiga siri laporan temubual dengan Thirunama.

Lingam mendakwa anda cuba membunuh diri pada 1981. Adakah ia betul?

Tidak betul sama sekali. Tidak adapun laporan perubatan. Minta dia buktikan.

Dalam laporan polis, anda berkata, pada 1996, bapa saudara anda bergegas ke dalam sebuah ofis dan berkata BPR akan datang. Boleh anda ceritakan mengenainya.

Dalam bulan Mei 1996, bapa saudara saya - Perincuramasamy - bergegas masuk. Pada masa ini, saya berada di pejabat abang saya. Datuk VK (Lingam) ada, kakak saya, Chinmayadevi, pun ada. (Perincuramasamy) berkata, BPR akan datang.

(Lingam) panik. Beliau mengarahkan saya dan kakak saya Devi serta seorang lagi, Francis Kok Chee Khoon supaya pergi ke Bank Oriental di Jalan Sultan Ismail untuk mengeluarkan sejumlah wang yang besar dari akaun (Lingam). Saya mengambil RM275,000 dan memasukkannya ke dalam akaun saya di Public Bank. Saya ada dokumen untuk membuktikan yang saya memasukkan wang tersebut.

Apa yang berlaku selepas itu?

Selepas itu, beliau meminta kami membuat lima bank draf berjumlah 60,000 pound sterling setiap satu - juga dari akaun bank beliau - dan dimasukkan ke dalam akaun lima individu. Ini terdapat dalam laporan polis saya. Termasuk diri saya, lima orang mengikut beliau ke London (untuk memasukkan wang tersebut).

Ianya berjumlah kira-kira RM1.5 juta. Itu jumlah wang yang banyak.

Francis Kok Chee Khoon juga mengeluarkan sejumlah yang banyak (dari akaun Lingam).

Jadi, anda berkata lebih banyak wang yang dikeluarkan selain daripada apa yang anda saksikan?

Ya. Lingam memang panik kerana siasatan BPR terhadap Perwaja Steel (kilang besi waja negara).

Jadi akaun (Lingam's) di Bank Oriental Bank telah dikosongkan?

Saya tidak tahu, Saya tidak boleh berkata sama ada akaun telah dikosongkan. Saya tidak tahu bakinya.

Apa yang dibuat dengan wang dalam akaun anda di Public Bank dan akaun di London?

Di London, 60,000 pound dikeluarkan oleh abang saya pada 1996. (Ada pemalsuan terbabit). Saya tidak tahu mengenai (pengeluaran wang tersebut).

Jadi, macam mana anda tahu mengenainya?

Saya pergi ke London untuk mengeluarkan wang. Mereka (pihak bank) berkata ia telah dipindahkan ke akaun abang saya (Lingam).

Bila anda ke London?

Mungkin pada tahun 1997.

Wang dalam akaun anda diPublic Bank?

Saya mengeluarkan wang tersebut dan menyerahkannya kepada (Lingam). Beliau berkata ia milik orang lain. Beliau menyebut nama seorang yang ternama dan berkata wang tersebut milik orang berkenaan dan orang itu akan mencari saya (jika saya tidak pulang wang tersebut).

Bila wang itu dikeluarkan?

Ia dikeluarkan pada bulan Julai (1996).

Perkara utama yang saya mahu orang tahu ialah saya tidak ada masalah psikitrik kerana saya diminta berlakon pada 1998. Saya mahu anda tahu itulah sebab utama saya ke mari.

Apa yang berlaku pada 1998?

Dalam minggu pertama bulan Mac 1998, abang saya datang ke rumah saya dan meminta saya mengikutnya. Saya mengikutinya dan dalam kereta beliau bertanya sama ada saya telah memberikan gambar kepada seorang peguam - kepada 'Dato Shafie'.

Gambar apa?

Gambar-gambar tersebut menunjukkan Lingam bersama bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin.

Saya kata tidak. Beliau kemudiannya menengking saya dan berkata saya yang memberikannya kerana saya telah menunjukkan jadual perjalanan kepada peguam tersebut dan itulah sebabnya (Dato Shafie) tahu mengenai percutiannya ke New Zealand.

Katanya, beliau (Lingam) menunjukkan kepada saya tiga gambar album percutian ke New Zealand dan hanya saya sahaja yang tahu mengenainya.

Jadi beliau meminta saya mengikutnya masuk ke sebuah restoran di Sea Park (Petaling Jaya). Di restoran itu, kakak saya (Letchmi) juga ada di sana. Di restoran tersebut, Lingam berkata, 'semua orang sudah tahu mengenai gambar-gambar itu' dan BPR tahu mengenai percutiannya ke New Zealand.

Beliau berkata, BPR akan datang ke rumah saya dan membawa saya dan anggota keluarga saya untuk disoalsiasat. Katanya, saya tidak boleh memberitahu BPR mengenai urusannya dengan hakim-hakim, bekas Ketua Polis Negara (KPN), seorang hakim Mahkamah Rayuan dan semua yang disebut dalam laporan polis saya itu.

Dia mengugut bahawa sesuatu akan berlaku terhadap diri saya. Beliau menyebut seorang ternama akan datang mencari saya dan anak-anak saya akan diculik dan saya akan ditangkap kerana menyebut nama bekas KPN itu.

Dia meminta saya pergi bersembunyi di India. Katanya, BPR pasti akan menyoalsiasat saya dan memaksa saya memberitahu yang sebenarnya dan apa yang telah saya beritahu kepada penguam lain (Shafie).

Jadi, saya tidak tahu bagaimana dia dapat tahu yang BPR akan datang. Itu membuat saya takut. Beliau memberitahu saya jangan memberitahu apa-apa kepada BPR.

Saya memberitahunya yang saya tidak boleh, kerana saya telah memberikan satu kenyataan terperinci kepada peguam (Shafie). Saya tidak berbuat demikian (berbohong pada BPR). Beliau berkata lebih baik saya mengikut arahannya itu. Itu membuat saya menjadi takuat. Beliau campurtangan dalam siasatan BPR.

Semua perbualan tersebut berlaku semasa di restoran tersebut?

Ya.

Kemudian apa yang berlaku?

Selepas itu saya pulang ke rumah. Ianya hari Ahad (8 Mac 1998). Pegawai BPR datang ke rumah saya. Mereka memanggil nama saya di pintu pagar. Ini adalah kali pertama BPR bercakap dengan saya.

Pada mulanya saya tidak membuka pintu. Kemudian mereka datang ke bahagian belakang rumah saya dan mengetuk dengan kuat. Saya memberitahu isteri saya yang BPR datang. Saya pasti kerana abang saya telahpun memberi amaran kepada saya sebelum ini.

Saya membuka pintu. Mereka memperkenalkan diri mereka. Tiga orang yang datang. Mereka berkata saya telah memberi kenyataan kepada seorang peguam. Mereka berkata, saya telah berjumpa dengan orang-orang ternama yang lain (sebelum ini) dan diberitahu mengenai rasuah abang saya dengan hakim-hakim dan bekas KPN. Mereka berkata, mereka akan menyiasatnya.

Mereka meminta saya mengikut mereka. Jadi, saya mengikut mereka ke ibupejabat BPR di Jalan Duta [...] dan mereka memperkenalkan saya kepada seorang pegawai di sana. Mereka meminta saya mengulangi apa yang saya telah beritahu kepada peguam dan (mengenai) perkara lain pada 1997. Pada mulanya saya diugut (oleh BPR), kemudiannya saya memberi kerjasama. Mereka mangambil dompet saya. Mereka mengambil kunci-kunci saya. Semuanya.

Mereka mengambil sekeping kertas dari poket saya - ia adalah nota bagi pengisytiharan bersumpah yang sedang saya sediakan. Ia untuk membatalkan pengisytiharan bersumpah saya sebelum ini di mana abang saya memaksa saya menandatanganinya pada Disember 1997 di Hotel Value Inn di Klang.

Pegawai BPR itu bertanya kepada saya mengenainya dan saya menjelaskannya. Saya memberitahu mereka bahawa saya hendak bertemu dengan seorang peguam dan meminta pandangannya mengenai cara membatalkan pengisytiharan sumpah saya yang sebelum ini.

Apa yang anda beritahu pegawai BPR?

Sewaktu disoalsiasat, pegawai BPR mahu tahu apa yang saya telah beritahu kepada Dato Shafie dan yang lain-lainnya. Saya beritahu pegawai BPR mengenai semua perbuatan rasuah yang dilakukan oleh abang saya antara tahun 1995 dan 1996. Saya tahu mengenainya kerana saya menjadi orang suruhannya (Lingam). Ini adalah kenyataan pertama saya kepada mereka. Kenyataan itu dirakamkan oleh seorang pegawai kanan BPR.

Adakah apa yang anda beritahu BPR itu sama dengan kandungan laporan polis yang anda buat awal tahun ini?

Ya.

Apa yang berlaku selepas itu?

Sesi tersebut berlangsung selama beberapa jam dan saya dibebaskan pada hari yang sama oleh BPR. Saya kata saya tidak mahu pulang kerana saya takut dan abang saya telah mengancam saya.

Seorang pegawai, yang bernama Razak, berkata saya boleh tidur BPR dan pegawainya akan menghantar saya pulang keesokan harinya.

Pada hari berikutnya (9 March 1998) saya pulang ke rumah, dengan ditemani oleh dua pegawai BPR. Dalam perjalanan pulang, mereka menemani saya ke bank tempat saya menyimpan peti deposit keselamatan saya. Saya menyerahkan kepada mereka beberapa dokumen untuk menunjukkan terdapat kaitan dengan hakim-hakim (dengan Lingam). Selepas itu saya pulang ke rumah.

Bila abang ada mendapat tahu (anda bertemu BPR)?

Pada hari yang sama. saya memberitahu kakak saya yang berada di rumah saya bahawa saya telah memberi kenyataan kepada BPR. Kakak saya menengking saya, (berkata) 'Oh tuhan, mengapa kamu berbuat demikian? Kami telah memberitahu kamu supaya jangan memberi sebarang kenyataan'.

Saya kata, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana saya tidak boleh menyembunyikan kebenaran. Dia menelefon abang saya dan memberitahunya apa yang telah saya lakukan. Atas arahan Lingam, kakak saya menyuruh saya pergi menemui doktor psikitrik dan berlakon (di sana).

Katanya, kita semua menghadapi masalah kerana BPR akan datang mencari kita. Katanya (Lingam) amat emosional dan isterinya menangis (kerana saya). Katanya, anak-anak saya dalam bahaya kerana saya telah memberitahu semua nama orang kenamaan.

Dia menelefon abang saya sekali lagi. Dia memberitahu saya supaya pergi berjumpa panel doktor isterinya saya. Dia minta saya berlakon dan doktor akan merujuk saya kepada doktor psikitrik.

Bagaimana anda berlakon?

Saya berlakon seperti saya mahu membunuh diri. Saya menangis dan semua itulah.

Itu yang mereka suruh anda lakukan?

Ya. Mereka suruh saya lakukan.

Pasti anda telah berlakon dengan baik sekali....

Mereka sudah terlalu banyak mengancam saya. Mereka kata anak-anak saya akan diculik. Mereka kata polis akan menangkap saya.

Jadi, anda ketakutan ketika itu?

Ya.

Dan selepas itu?

Saya pergi ke sebuah klinik di Petaling Jaya dan berlakon. Saya berlakon seperti orang yang tertekan dan emosional. Saya menunggang motosikal ke sana. Mereka memberi surat rujukan kepada saya untuk berjumpa Dr Deva Dass.

(Surat Dr Deva Dass yang mendakwa Thirunama menghadapi masalah psikitrik, diedarkan oleh Lingam minggu lalu).

Saya menjelaskan kepada Dass bahawa saya menghadapi masalah keluarga dan saya sangat tertekan. Beliau membuat catatan. Saya tidak beritahu yang saya sedang disiasat oleh BPR kerana kakak saya minta jangan beritahu. Dia kata saya hanya perlu beritahu ianya mengenai masalah keluarga.

Berapa anda bersama Dr Dass?

Setengah jam.

Apa yang berlaku selepas itu?

Dia suruh saya ambil beberapa ubat.

Adakah anda berjumpa Dass lagi selepas itu?

Kali pertama saya berjumpa beliau ialah pada 19 Mac (1998, dan pada hari berikutnya).

Apa jenis ubat yang beliau berikan?

Saya tidak makan ubat tersebut, kerana saya bukan sakit. Dalam dua hari saya menemuinya, beliau memberikan saya 15-20 pil.

Apa yang berlaku selepas itu?

Pada 12 Mac, BPR datang lagi ke rumah saya. Mereka berkata mereka tertinggal beberapa perkara (dalam soalsiasat sebelumnya). Bila saya pergi ke BPR, Saya keberatan untuk meneruskan lebih lanjut dengan kenyataan pertama saya itu. Saya beritahu mereka yang saya mahu membuat kenyataan kedua.

Sebelum itu, kakak saya (telah) memberitahu saya supaya berkata bahawa pegawai BPR telah mengancam dan memukul saya supaya membuat kenyataan pertama itu. Saya memberitahu seorang pegawai bahawa seorang daripada pegwai telah memukul saya (untuk mendapatkan kenyataan yang pertama).

Mereka kemudiannya memanggil pegawai berkenaan (yang merakamkan kenyataan pertama itu untuk bertanya) sama ada saya telah dipukul. Pegawai itu menjawab 'Tidak'.

I (telah) berbohong (mengenainya). Seorang pegawai kanan (kemudiannya) bertanya sama ada saya diancam oleh sesiapa. Saya tidak memberitahu mereka (mengenai ancaman daripada anggota keluarga). Saya takut untuk memberitahu mereka.

Apa lagi yang anda katakan?

Mereka bertanya kepada saya sama ada saya telah diancam dan mengapa saya membuat kenyataan kedua. Saya memberitahu mereka bahawa kenyataan pertama saya itu tidak benar. Tetapi saya tidak memberitahu mereka yang saya telah berjumpa dengan doktor psikitrik.

Ramai pegawai yang datang berjumpa dengan saya. Mereka memberitahu saya supaya jangan berbuat demikian. Mereka kata saya sedang membantu kerajaan Malaysia untuk membersihkan sistem. Mereka kata 'Mengapa kamu berbuat demikian?'

Saya tidak menjawab. Saya ketakutan kerana abang saya telah mengancam saya. Ketakutan masih segar dalam fikiran saya. saya tidak ada pilihan.

Adakah anda memberitahu mereka yang anda diancam oleh abang anda?

Tidak. Saya tidak memberitahu mereka.

Berapa lama anda berada di sana? Anda masih ingat?

(Kenyataan) yang kedua sangat pendek. Bila saya berbohong, ia nampak sangat bodoh. Saya beritahu mereka bahawa saya tidak tahu di mana rumah bekas ketua hakim (bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin). Jadi saya ikut (Eusoff) dari mahkamah hingga ke rumahnya. Kenyataan kedua saya itu sangat tidak munasabah.

Mereka menulisnya. Selepas merakamkan kenyataan (kedua) saya, seorang pegawai BPR berkata, ianya bercanggah dengan kenyataan pertama saya. Katanya, di bawah Akta BPR, beliau akan menahan reman saya selama lapah hari untuk siasatan.

Mereka menggarikan tangan saya dan membawa saya berjumpa dengan majistret. Saya beritahu majistret itu bahawa saya ada keluarga untuk dijaga dan beliau mengurangkan tempoh tahanan reman kepada enam hari. Saya dibawa ke lokap balai polis Taman Tun (Dr) Ismail dan ditahan di sana.

Adalah BPR menyoalsiasat anda selama enam hari tersebut?

Mereka datang mengambil saya dan meminta saya menunjukkan (kepada mereka) di mana rumah hakim-hakim tersebut. Saya menunjukkan rumah semua hakim...yang disebut dalam laporan polis saya. Mereka mahu tahu sama ada apa yang saya katakan (kepada BPR dalam kenyataan pertama saya itu) adalah benar. Bagaimana saya tahu semua rumah-rumah tersebut jika saya tidak pernah ke sana sebelum ini?

Dalam tempoh enam hari itu, adakah anda memberi perkara yang benar?

Ya. Mereka bertanya selanjutnya kepada saya mengenai benda-benda yang saya hantar kepada hakim-hakim.

Adakah mereka bertanya mengenai kenyataan kedua anda?

Saya memberitahu mereka bahawa saya takut kerana semua orang ini terbabit dan saya telah diancam.

Adakah pernah membawa abang anda untuk menghadiri pertemuan di rumah-rumah tersebut?

Biasanya pada waktu malam. Apabila saya memandunya ke sana, beliau akan membawa banyak fail. Apabila saya datang mengambilnya, beliau hanya membawa satu fail kecil sahaja. Saya menghantarnya dalam kereta berlainan.

Mengapa kereta yang berlainan?

Beliau tidak mahu orang melihat kereta yang sama setiapkali pergi ke sana.

Berapa lamakah pertemuan-pertemuan tersebut?

Dua jam, kadang-kadang tiga jam.

Anda tunggu?

Beliau akan suruh saya pulang ke rumah. Beliau akan menelefon saya (bila beliau sudah hendak pulang).

Berapa kerap pertemuan dengan TUn Eusoff Chin?

Ia boleh jadi (antara) enam hingga lapan kali (yang saya tahu). Ini adalah dari tahun 1995 hingga 1996.

Bukan anda seorang sahaja yang memandu keretanya. Betulkah begitu?

Ada seorang bekas pemandu. Dia beritahu saya (dia pernah menghantar Lingam ke rumah Eusoff).

Adakah abang anda beritahu mengapa dia ke rumah Eusoff?

Katanya, beliau ada kes-kes penting untuk dibincangkan. Dari situ saya tahu mengenai hubungannya dengan bekas-bekas hakim. Pada satu ketika, dalam kereta, saya beritahu beliau supaya berhati-hati dan tidak melakukannya. Beliau berkata,tiada siapa yang tahu mengenainya.

Adakah anda dibebaskan selepas tempoh enam hari itu?

Tidak. Pada hari keenam saya ditahan reman - 17 Mac 1998 - mereka mengambil kenyataan dari saya. Seorang pegawai berpangkat tinggi BPR memberitahu saya, secara baik, ''Anda akan bercakap benar juga. Kami di sini adalah untuk membersihkan badan kehakiman. Jangan takut kepada abang anda. Jangan takut pada sesiapapun. Berilah satu kenyataan yang benar'.

Saya memberi kenyataan ketiga secara terperinci kepada pegawai kanan tersebut.

Adakah terdapat sebarang perbezaan dengan kenyataan pertama?

Ia lebih terperinci daripada kenyataan pertama. Kerana kenyataan pertama, saya masih takut kerana ancaman abang saya ketika di restoran (pada 1996). Saya juga bimbang beliau akan tahu yang BPR datang ke rumahnya dan rumah saya. Ada yang memberi maklumat itu.

Apa yang berlaku selepas memberi kenyataan ketiga?

Kakak saya datang menjemput saya.

Esok: Thirunama menceritakan bagaimana tiga orang peguam dan anggota keluarganya "memaksanya" supaya dimasukkan ke wad psikitrik di sebuah hospital.