Sejumlah 89 orang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram. Mereka ditangkap ketika menyertai perhimpunan anjuran Badan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) Ahad lalu.

Daripada jumlah itu, 40 orang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan menyertai perhimpunan haram di kuil Batu Caves pada pagi Ahad 25 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Polis yang menetapkan bahawa permit polis diperlukan untuk mengadakan perhimpunan di tempat awam.

Mereka merupakan sebahagian daripada orang ramai yang berhimpun di kuil tersebut pada awal pagi Ahad lalu, dengan niat untuk menyertai perhimpunan anjuran Hindraf di Jalan Ampang.

Kira-kira 1,000 orang telah berhimpun di kuil tersebut pada jam 1 pagi telah disuraikan oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air.

Polis mengadakan kawalan ketat di Mahkamah Sesyen Selayang dengan menempatkan tujuh trak FRU bersama 30 anggota.

Majlis Peguam The Kuala Lumpur dan Selangor Bar menyediakan khidmat guaman untujk membantu mereka yang didakwa hari ini. Mahkamah menetapkan ikatjamin RM1,000 bagi setiap tertuduh.

Lima orang lagi, yang sepatutnya didakwa hari ini, tidak hadir. Mahkamah diberitahu ketiga mereka cuti sakit manakala dua lagi tidak diketahui.

Dua tuduhan di KL

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, 49 orang didakwa melakukan dua kesalahan mengikut Seksyen 141 dan 145 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram dan melanggar perintah polis supaya bersurai.

Mereka yang tertuduh juga diberi pilihan untuk mengaku besalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis, iaitu berhimpun tanpa permit polis.

Bagaimanapun, mereka meminta dibicarakan bagi kedua-dua tuduhan mengikut Kanun Keseksaan.

Mereka ditawarkan ikatjamin antara RM1,500 hingga RM3,000 tiap seorang.

Lima belas orang gagal membayar ikatjamin dan dibawa ke penjara Sungai Buloh untuk ditahan reman.

Kes mereka akan didengar antara 3 Januari hingga 11 Februari. Jika masih gagal membayar ikatjamin, mereka akan ditahan reman sehingga hari perbicaraan.

Sementara itu lima orang yang sepatutnya didakwa hari ini, tidak hadir - seorang cuti sakit manakala seorang lagi menduduki peperiksaan. Mahkamah bagaimanapun mengeluarkan waran tangkap terhadap dua lagi yang tidak hadir.

Perbezaan jumlah ikatjamin dan tarikh perbicaraan adalah disebabkan oleh ramai yang didakwa dan untuk menanganinya, pihak pendakwa menetapkan kes itu didengar di empat mahkamah berasingan, dengan pendakwa dan majistret masing-masing.

Di bawah Akta Polis, sesiapa yang menyertai perhimpunan haram, jika didapati bersalah, boleh didenda RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dari setahun.

Dan mereka yang didapati bersalah mengikut Seksyen 141, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan/atau denda RM2,000.

Mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum maksimum dua tahun penjara dan denda mengikut jumlah yang diputuskanoleh majistret.

Semakan keputusan

Sementara itu, Pejabat Peguam Negara hari ini memohon penyemakan semula keputusan Mahkamah Sesyen Klang melepaskan tiga pemimpin utama Hindraf daripada tuduhan menghasut Isnin lalu.

Notis tersebut difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini. Ia dijangka didengar minggu depan.

Tiga pemimpin Hindraf itu - P Uthayakumar, 46; P Warthamoorty, 41; dan V Ganabati Rao, 34; - didakwsa Jumaat lalu membuat kenyataan berunsur hasutan dalam bahasa Tamil di Restoran Yuen He di Sungai Rambai, Jalan Batang Berjuntai, Kuala Selangor, antara jam 8.30 malam dan 11.15 malam pada 16 November lalu.

Bagaimanapun, Isnin lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Zunaidah Mohd Idris melepaskan mereka tanpa dibebaskan selepas memutuskan bahawa tuduhannya tidak jelas kerana pihak pendakwa tidak menyertakan bersama transkrip dalam Tamil kenyataan yang dikatakan berunsur hasutan itu.

Ahad lalu, kira-kira 30,000 orang - kebanyakannya kaum India - berhimpun di Jalan Ampang di Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan anjuran Hindraf untuk menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi British.

Pihak berkuasa bagaimanapun menolak permohonan untuk mendapatkan permit serta mendapatkan perintah mahkamah untuk melarang orang ramai daripada menghadirinya. Polis menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air untuk menyuraikan orang ramai. Berita asal