Beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei membingkiskan hadiah Merdeka paling istimewa apabila muncul juara dunia dengan merangkul pingat emas di Kejohanan Badminton Dunia BWF di Paris, Perancis hari ini.
Pasangan tersebut meraih kemenangan bergaya selepas menundukkan gandingan China, Jiang Zhenbang dan Wei Yaxin dengan keputusan 21-15, 21-14.
Kejayaan ini mencatat sejarah sebagai kejuaraan dunia pertama buat Malaysia dalam acara beregu campuran, serta gelaran dunia kedua negara selepas kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada 2022.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut.
“Hadiah Hari Kebangsaan buat Malaysia!
"Tahniah kepada pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, atas pencapaian membanggakan di Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025.
"Terima kasih kerana telah bekerja keras demi mengharumkan nama negara,” tulisnya pada hantaran di media sosial.
Semalam, beregu wanita negara Pearly Tan dan M Thinaah turut mencatat kemenangan dalam peringkat separuh akhir selepas menewaskan gandingan Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida dengan keputusan 14-21, 21-13, 21-12.
Tan-Thinaah akan berdepan pasangan China, Sheng Shu dan Tan Ning, dalam perlawanan akhir yang dinanti-nantikan malam ini.
