Kerajaan perlu mengambilkira kebebasan individu dan rakyat sebelum menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam memastikan keamanan rakyat dan keselamatan negara.

"Ini bermakna penggunaan ISA perlu seimbang iaitu untuk kepentingan negara tetapi tanpa mengenepikan kebebasan rakyatnya," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Khalid Ibrahim.

.

"Saya fikir Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) menggunakan ISA untuk keselamatan negara dan rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Khalid menekankan bahawa kenyataan itu bukan bermakna beliau atau Suhakam menyokong penggunaan ISA di negara ini.

Beliau menegaskan demikian ketika berucap di majlis penyerahan memorandum oleh Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh di pejabat Suhakam di ibu negara hari ini.

Hak asasi manusia

Khalid diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan akan menggunakan ISA untuk menangani demonstrasi jalanan.

"Tetapi sebarang salahguna perlu dielakkan termasuk membuat tangkapan tanpa bukti kerana ia melanggar hak asasi manusia," katanya.

Khalid berkata, di mana-mana negara pun tiada kebebasan secara mutlak tetapi hak-hak asas memang wujud, termasuk di Malaysia.

Suhakam, bagaimanapun, katanya akan terus berusaha untuk mendesak kerajaan menghapuskan akta tersebut kerana adalah tidak adil mereka ditangkap tanpa perbicaraan mahkamah.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, sehingga hari ini masih ada lebih 90 tahanan ISA dan 26 daripadanya akan masuk tahun keenam pada tahun depan.