Chia nafi Bernama sebar SMS mengenai Hisham
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Seri Chia Kwang Chye hari ini berkata terdapat anasir tidak bertanggungjawab mahu mencemarkan nama baik Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), kononnya dihantar oleh Bernama, agensi berita nasional, semalam.
"Menteri Pelajaran tidak membuat kenyataan seumpama itu dan Bernama juga tidak menghantar SMS seperti itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
SMS itu kononnya memetik Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno, memperkatakan mengenai sokongan pengundi India dan China.
Chia menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan SMS itu, demikian menurut laporan Bernama.
Jurucakap dari pejabat Hishammuddin berkata Ketua Pemuda Umno itu tidak membuat sebarang kenyataan semalam.
Beliau berkata pejabatnya akan meminta pihak berkuasa untuk mengenal pasti sumber SMS berniat jahat itu.

