Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan satu perhimpunan bagi membantah kenaikan tol di ibu negara tidak lama lagi.

"Kita mensasarkan 10,000 orang untuk menyertai perhimpunan tersebut terutama di kalangan pembayar tol," kata Ketua Penerangannya, Tian Chua.

Bercakap dalam sidang media mingguan PKR di ibu negara hari ini, Tian Chua bagaimanapun, berkata tarikh untuk mengadakan perhimpunan tersebut akan ditetapkan secepat mungkin.

Katanya, perhimpunan tersebut sebagai membantah keputusan kerajaan menaikkan enam konsensi tol lebuhraya seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu semalam.

Enam lebuhraya itu ialah Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Kulim-Butterworth (BKE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), serta Tambak Johor dan Plaza Bukit Kayu Hitam.

Kadar baru bagi SPDH melibatkan Plaza Tol Mambau ialah RM3.20 (naik 30 sen) manakala bagi Plaza Tol Lukut ialah 80 sen (naik 10 sen), Lebuhraya Elite RM14.96 sen (naik RM1.36 sen), Lebuhraya BKE RM1.60 (naik 30 sen), Lebuhraya LinkKedua bagi Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor RM1.60 sen (naik 30 sen) manakala Plaza Tol Lima Kedai pula RM3.90 (naik 80 sen) dan Plaza Tol Perling RM2.30 (naik 50 sen).

Lebuhraya NNKSB melibatkan Plaza Tol Bukit Raja ialah 60 sen (naik 20 sen) manakala Plaza Tol Kapar-Bukit Raja RM1.40 (naik 40 sen); Plaza Tol Bukit Kayu Hitam RM3.60 (naik 30 sen) dan Plaza Tol Tambak Johor RM2.90 (naik 30 sen).

Bagaimanapun, tiada kenaikan tol untuk Lebuhraya Bertingkat Ampang-Ulu Kelang (Prolintas), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint)-Kerinchi dan Damansara Link dan Jambatan Pulau Pinang.

Tian Chua berkata, kerajaan tidak menaikkan kadar tol di empat lebuhraya itu bagi menghadapi pilihanraya umum yang dijangka diadakan tahun depan.

Pilihanraya umum

Tetapi, katanya, PKR meramalkan kerajaan akan menaikkan kadar enam konsesi tersebut pada tahun 2009 iaitu selepas pilihanraya umum.

"Kami berpandangan keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol menimbulkan kemarahan di kalangan orang awam kerana menambahkan beban pengguna," katanya.

Beliau berkata, masalah utama ialah penjanjian antara pemegang konsesi dan kerajaan di mana orang awam tidak mengetahui butiran perjanjian tersebut.

Oleh kerana itu, katanya, PKR meminta kerajaan mendedahkan isu kandungan perjanjian tersebut untuk pengetahuan orang ramai.

Tian Chua berkata, awal tahun ini pemimin PKR disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan kontrak tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Samy Vellu, katanya, pada 19 Februari lalu pernah berjanji untuk mendedahkan perjanjian tersebut kepada orang awam tetapi sehingga sekarang beliau belum berbuat demikian.

Tian Chua juga setuju dengan saranan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Datuk Shahrir Samad supaya kerajaan membeli saham pengendali lebuhraya bagi mengelak kenaikan tol.