Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tutup kes Farhash hasil keputusan dibuat AGC

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan nama bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, daripada dakwaan mempunyai kaitan dengan skandal perlombongan di Sabah.

Ini selepas siasatan mendapati tiada lesen penerokaan dikeluarkan kepada syarikat milik ahli perniagaan itu, jelas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Dia berkata kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mendapati tiada sebarang pertuduhan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak.

"Siasatan kita jalankan dengan memanggil semua yang terbabit dan kita juga merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management, kerajaan negeri, siapa-siapa yang dikatakan terbabit.

"Akhirnya, timbalan pendakwa raya sudah membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak sama ada di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan dan tiada isu tadbir urus.

“Maka kes ini ditutup,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya.

Menurut Azam, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash pernah mengemukakan permohonan penerokaan mineral kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) pada Mac 2023.

“Syarikat beliau (Farhash) dikatakan telah menerima kelulusan daripada kerajaan negeri untuk meneroka mineral di Sabah. Siasatan telah dijalankan dan saya memaklumkan bahawa tiada permohonan tanah yang dikemukakan.

“Yang ada permohonan untuk eksplorasi mineral kepada SMM. Pada mulanya SMM telah membenarkan eksplorasi ini secara bersyarat pada Mac 2023 dan syarikat itu perlu mengemukakan dokumen tertentu bagi sebarang kebenaran (sebelum) eksplorasi berkenaan,” katanya.

Namun, jelas Azam lagi syarikat berkenaan gagal menyerahkan dokumen yang diminta, menyebabkan permohonan itu ditamatkan pada Mac tahun ini.

“Jadi sebenarnya tidak ada apa-apa eksplorasi yang telah dijalankan kerana kerana (syarikat) tidak membekalkan dokumen berkenaan,” kata Azam.

Sebelum ini, portal MalaysiaNow mengaitkan Farhash dengan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah, termasuk memuat naik rakaman audio yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Hajiji Noor menyatakan sokongan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.

Lembaga Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), yang dipengerusikan Hajiji, kemudian menafikan bahawa mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash telah diberikan lesen penerokaan di negeri itu.

MalaysiaNow juga sedang disiasat polis susulan aduan yang dibuat oleh SMM.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Sept lalu menolak permohonan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersama dua plaintif lain bagi mendapatkan perintah injunksi terhadap portal berita MalaysiaNow berhubung artikel berkaitan skandal perlombongan di Sabah.

Sebelum itu, Farhash bersama dua individu lain memfailkan saman fitnah pada 21 Ogos lalu, terhadap MalaysiaNow dan Rahman, serta menuntut ganti rugi RM10 juta berhubung artikel berkaitan skandal perlombongan di Sabah.

Dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini menunjukkan saman itu difailkan oleh firma guaman Messrs Ahmad Deniel, Ruben & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Julai.

Farhash bersama Bumi Suria Sdn Bhd (Bumi Suria) dan Mohd Aminudin Mustapha menamakan MNow Sdn Bhd serta Rahman sebagai defendan.

Farhash dan Aminudin merupakan pengarah syarikat Bumi Suria.

Selain RM10 juta, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi punitif.

Mereka juga memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf penuh dan tanpa syarat di portal berkenaan, faedah lima peratus setahun, serta remedi lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mereka juga menuntut defendan memadam artikel-artikel berkenaan dari laman MalaysiaNow, selain memfailkan permohonan injunksi segera bagi menghalang portal itu daripada mengeluarkan semula artikel yang didakwa berunsur fitnah.

Dalam afidavit sokongan, plaintif mendakwa artikel berkenaan mencemar reputasi bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu sebagai tokoh awam terkenal dan dihormati, serta menjejaskan kerjaya dan hubungan perniagaan Aminudin.

Artikel itu, kata plaintif, menggambarkan seolah-olah mereka menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan lesen perlombongan secara haram.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS