Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa rakyat pelbagai kaum dan agama supaya bertenang ekoran protes oleh sekumpulan kaum India yang diketuai oleh Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) Ahad lalu.

Presidennya, Yusri Mohamad berkata, pihaknya memandang berat sesetengah tindakan dan kandungan pelbagai dokumen yang dikeluarkan oleh Hindraf, telah memperbesar dan mensensasikan tuduhan-tuduhan yang membabitkan masyarakat Islam.

Katanya, penggunaan istilah seperti "pembersihan kaum" "penjajahan kekal" masyarakat India oleh "ekstremis Islam", "gang Melayu" dan seumpamanya, jelas tidak mempunyai justifikasi dari segi bangsa dan agama, berunsur hasutan dan berbau subversif.

Namun begitu, katanya, ia tidak seharusnya mencetus sebarang reaksi yang tidak wajar dari masyarakat Islam.

"Kita percaya, walaupun mungkin ada rungutan di kalangan masyarakat India, tetapi majoriti rakan-rakan India kita yang cintakan keamanan dan pertubuhan perdana India, tidak menaruh sebarang rasa permusuhan terhadap orang Islam," katanya.

Yusri berkata, beliau pecaya mereka juga tidak bersetuju dengan cara dan pendekatan yang diambil oleh Hindraf.

"Kita juga ingin menegaskan sekali lagi sokongan kita terhadap masyarakat India yang miskin dan terpinggir dan begitu juga dengan kaum-kaum lain dan menggesa kerajaan dan semua pihak mengambil langkah berterusan untuk memperbaiki taraf hidup mereka," katanya.

Isu sensitif

Beliau juga mengingatkan bahawa isu-isu yang membabitkan kepentingan kaum dan agama dalam mesyuarat majmuk di negara ini adalah sensitif dan perlu ditangani dengan bijaksana.

"Mereka yang memperjuangkan kepentingan kaum dan agama hendaklah belajar dari sejarah kita yang lalu, bahawa isu-isu seumpama itu, jika tidak ditangani dengan berhati-hati, boleh mencetuskan ketegangan.

"Apabila emosi tidak dikawal dan kemarahan masyarakat terlalu tinggi, maka tiada jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam boleh dikekalkan.

Katanya, Abim mengutuk semua bentuk ekstremis bangsa dan agama dan menggesa rakyat Malaysia yang cintakan keamanan supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keamanan, keharmonian, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menurutnya lagi, walaupun kebebasan berhimpun dan bersuara merupakan hak asasi dalam Perlembagaan, dan secara amnya boleh diamalkan oleh semua rakyat, tetapi pihak berkuasa berkenaan hendaklah dibenarkan mengawal hak seumpama itu, dengan mengambil kira keadaan setiap kes.

Pada masa yang, Yusri juga menggesa pihak polis supaya bertindak secara munasabah dan menggunakan budibicara mereka ketika mengawal keadaan.

Dalam keadaan sekarang, tambahnya, adalah berbahaya dan tidak bertanggungjawab bagi sesiapa sahaja untuk memanipulasi dan meniupkan sentimen perkauman untuk sebarang agenda politik dan kepentingan diri.