Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri minta UM jelaskan kenapa Wong tak terpilih
Diterbitkan:  Sep 9, 2025 5:11 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir meminta Universiti Malaya (UM) memberi penjelasan berhubung kegagalan seorang pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk menyambung pengajiannya di institusi pengajian tinggi tersebut.

Merujuk isu yang dibangkitkan Presiden MCA Wee Ka Siong berkenaan Edward Wong semalam, Zambry berkata, UM akan memberikan penjelasan lanjut asas-asas keputusan yang dibuat mereka.

"Apa yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong berkaitan seorang pelajar yang dikatakan tidak mendapat tempat kursus pilihan dan universiti pilihan walaupun dia mendapat tempat di sebuah universiti yang lain, seperti kita sedia maklum bahawa ini adalah keputusan yang telah dikeluarkan.

"Oleh kerana perkara yang dibangkitkan oleh pelajar ini (Wong) dan Datuk Seri Wee Ka Siong berkaitan pilihan pertama pelajar ini iaitu UM untuk dia mengikuti kursus perakaunan, jadi saya meminta kepada UM untuk menjelaskan kenapa dia tidak diberikan tempat di universiti berkenaan dan apa asas-asasnya akan dijelaskan oleh UM," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan kisah pelajar cemerlang itu berubah selepas dia meluahkan kekecewaannya di Facebook dan hantarannya tular sebelum menarik perhatian Wee.

Tampil dalam sidang media di ibu negara semalam, Wong memberitahu dia berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di UM, universiti yang sama tempat kakaknya baru sahaja tamat pengajian.

"Realiti sekarang mengecewakan, ada yang meragukan keupayaan saya, ada yang tak percaya, ada yang kata tak boleh tolong. UM sentiasa menjadi matlamat utama saya.

"Sejauh mana kami perlu cemerlang untuk boleh memilih (kursus pengajian diminati)," soalnya sambil memaklumkan akan terus berusaha untuk buat rayuan.

Sementara itu Wee berkata, amat malang seorang pelajar cemerlang STPM dengan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 dinafikan peluang untuk menyambung pengajian dalam kursus yang diminati.

Oleh itu Wee merayu UM supaya mempertimbangkan permohonan Wong.

Wong ketika ini hanya ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Beri penjelasan, alasan

Zambry menegaskan dasar kerajaan sama sekali tidak ada kompromi bagi memastikan setiap pelajar yang memperolehi keputusan PNGK 4.0 diberikan tempat untuk menyambung pengajian mereka.

Mengulas lanjut, dia menjelaskan, di peringkat sistem Unit Pusat Universiti (UPU) menjalankan roses permohonan dan ia bukanlah satu sistem baru malah digunakan sejak sekian lama.

"Sistem UPU ini bukanlah sistem yang baru, Datuk Seri Wee Ka Siong sedia maklum dia pernah menjadi timbalan menteri pendidikan, bagaimana sistem UPU yang sudah pun digunakan sekian lama.

"Dalam kes yang ini, universiti tentunya mempunyai sebab-sebab mereka dan saya minta pihak universti untuk memaklumkan dan menjelaskan ini termasuk apa yang disebutkan bahawa pelajar ini juga telah diberikan tawaran berkaitan conditional offer iaitu tawaran prasyarat terlebih dahulu berdasarkan kepada permohonan dia untuk mengikuti kursus di saluran terbuka.

"Jadi saya telah minta kepada pihak UM untuk menjelaskan keadaan dan alasan-alasan, saya harap ia tidak memberikan satu gambaran yang tidak baik seolah-olah sistem kita rosak dan sebagainya," kata Zambry.

Tambah menteri itu lagi kementerian terbabit sentiasa memberikan kerjasama bagi memastikan pelajar-pelajar khususnya anak-anak tempatan dapat melanjutkan pelajaran.

"Dan yang sering kali menjadi persoalan yang dibincangkan ialah kursus pilihan mereka dan ada pula kes yang melibatkan universiti pilihan mereka.

"Jadi saya telah pun minta kepada universiti berkenaan supaya menjelaskan," kata Zambry yang juga ahli Dewan Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS