MUKTAMAR PAS | Perwakilan Pemuda PAS di muktamar ke-66 parti itu di Kedah hari ini sebulat suara meluluskan resolusi menggesa kepimpinan parti mengambil alih tampuk kepimpinan Perikatan Nasional (PN).
Dalam sesi bersemangat petang ini, dewan utama di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut bergemuruh dengan laungan persetujuan oleh kira-kira 600 perwakilan terhadap usul yang dibacakan Ketua Penerangan Pemuda PAS Khairul Nadzir Helmi Azhar.
"Inilah masanya tuan-tuan. PAS perlu memimpin PN.
"Inilah masanya PAS perlu memimpin dan menerajui kepimpinan negara Malaysia," katanya disambut teriakan hadirin yang bersetuju.
"Dengan ini Pemuda PAS secara tegas mendesak mengusulkan agar usul ini dapat dibaca sehingga ke Muktamar PAS pusat, memberi kepercayaan kepada negara untuk membenarkan PAS menerajui PN," katanya.
Gabungan itu – yang mempunyai empat parti komponen – kini dipimpin oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, selaku pengerusinya.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang, presiden Gerakan dan Parti India Muslim Malaysia (MIPP), serta Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin adalah Timbalan Pengerusi PN.
Isu struktur kuasa PN dan calon Perdana Menterinya bagi pilihan raya umum akan datang telah menjadi isu sensitif dalam hubungan PAS-Bersatu, khususnya selepas mesyuarat agung tahunan Bersatu minggu lalu menamakan Muhyiddin sebagai pilihan utama sebagai calon Perdana Menteri.
Susulan itu, beberapa pemimpin PAS mengingatkan Bersatu agar tidak membuat keputusan terburu-buru tanpa rundingan sewajarnya dalam kalangan anggota gabungan.
Pada April lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man,dilaporkan berkata PN menjangkakan akan berlaku rombakan kepimpinan selepas parti-parti komponennya bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menilai penambahbaikan organisasi.
